Ketegangan Asia Pasifik, pemansuhan AUKU antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 November – Keselamatan negara susulan peningkatan ketegangan ketenteraan di rantau Asia Pasifik, hala tuju tadbir urus universiti selepas pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta usaha mengekang iklan badal haji meragukan antara perkara yang akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jaminan kerajaan bahawa pemansuhan AUKU tidak menimbulkan kelompongan perundangan dan asas One Higher Education Act baharu.
  • Mekanisme semakan awal bagi identiti pengiklan badal haji, status syarikat, lesen, akaun penerima dan kesahihan dakwaan.
  • Status pelaksanaan 25 peratus syor RCI Tabung Haji, termasuk tempoh sasaran dan pelan tindakan bagi baki syor.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen, William Leong Jee Keen (PH-Selayang) meminta Menteri Pertahanan menjelaskan pendirian kerajaan dalam menghadapi peningkatan ketegangan dan eskalasi ketenteraan di rantau Asia Pasifik, khususnya langkah memastikan keselamatan negara dan kestabilan ASEAN terus terpelihara, semasa sesi soal jawab.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) pula menyoal Menteri Pendidikan Tinggi mengenai jaminan kerajaan bahawa pemansuhan AUKU tidak akan mewujudkan kelompangan perundangan atau ketidakpastian dalam pentadbiran universiti dan prinsip utama yang akan menjadi asas kepada One Higher Education Act yang baharu.

Turut menarik perhatian ialah soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang meminta Perdana Menteri menyatakan mekanisme kerajaan untuk membuat semakan awal terhadap identiti pengiklan, status syarikat, lesen, akaun penerima bayaran dan kesahihan dakwaan pelaksanaan badal haji sebelum iklan itu terus dipromosikan kepada orang ramai.

Selain itu, Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) ingin tahu sama ada 25 peratus syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji telah dilaksanakan oleh agensi berkenaan serta tempoh sasaran dan pelan tindakan bagi memastikan pelaksanaan kesemua baki syor tersebut.

Usai sesi soal jawab, Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan dan jawapan kementerian bagi Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa.

Menurut takwim Dewan Rakyat, perbahasan dan sesi penggulungan Belanjawan 2027 peringkat jawatankuasa berlangsung hingga 26 November ini.

Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 37 hari hingga 8 Disember ini.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.