
GEORGE TOWN, 2 November – Tindakan merehatkan Ketua Jurulatih pasukan Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail berikutan prestasi pasukan yang jauh daripada sasaran yang ditetapkan pada musim ini bukanlah tindakan yang dibuat secara terburu-buru.
- Keputusan merehatkan Wan Rohaimi adalah sebahagian perancangan teknikal selepas pelbagai teguran dan kelemahan pasukan gagal ditangani.
- Pihak pengurusan telah lama memberi maklum balas tetapi prestasi masih belum menunjukkan perkembangan positif.
- Kontrak Wan Rohaimi berakhir Disember; beliau digantung sementara, jawatan tetap akan diputuskan oleh Lembaga Pengarah.
- Pengarah Teknikal Victor Andrag mengambil alih secara sementara untuk persiapan menentang KL City pada 22 November.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Daniel Gooi berkata, keputusan itu merupakan sebahagian daripada perancangan teknikal setelah pelbagai teguran dan isu kelemahan pasukan tersebut gagal ditangani.
Beliau berkata, pihak pengurusan telah lama memberikan maklum balas mengenai prestasi pasukan yang masih belum menunjukkan sebarang perkembangan positif seperti yang diharapkan para penyokong Harimau Kumbang.
“Buat masa kini kita rehatkan, kita akan melihat kepada situasi yang akan datang, dimana untuk makluman juga, sebenarnya kontrak untuk Wan Rohaimi sebenarnya akan tamat pada bulan Disember tahun ini, memang ini adalah dari permulaan musim ini, kontrak dia adalah sehingga akhir tahun ini saja, tertakluk kepada keputusan pencapaian.
“Jadi buat masa kini kita telah menggantung beliau dan pelantikan ketua jurulatih tetap yang baharu akan diputuskan menerusi mesyuarat Lembaga Pengarah dan pengumumannya akan dibuat kemudian”, katanya kepada media di sini.
Keputusan itu diumumkan susulan kekalahan 1-2 dialami Penang FC di tangan Melaka FC dalam saingan Liga Super pada Ahad lalu.
Bagi mengisi kekosongan tersebut, Pengarah Teknikal Penang FC, Victor Andrag akan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih secara serta-merta bagi mempersiapkan pasukan menghadapi baki perlawanan Liga Super yang seterusnya, menentang KL City yang dijadualkan berlangsung pada 22 November ini.