Orang Asli Temuan diperkasa dalam usaha melestarikan alam

Foto FB ASYIKfm

DAMANSARA PERDANA, 2 November – Penglibatan komuniti Orang Asli Suku Temuan dalam usaha melestarikan alam sekitar diperkasa menerusi pendekatan pendidikan dan kesedaran secara langsung di peringkat akar umbi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengiktirafan Kampung Orang Asli Bukit Lanjan sebagai lokasi rasmi, menghormati peranan komuniti Temuan sebagai penjaga alam dan pemelihara warisan budaya.
  • Program menekankan komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) untuk memupuk kelestarian alam dan kesinambungan warisan budaya.
  • Inisiatif praktikal termasuk kempen kitar semula e-waste, pengumpulan minyak masak terpakai Trash-to-Cash, pemantauan bunyi, kualiti air dan dron.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAS WPKL), Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pendekatan itu dilaksanakan menerusi Program Lestari Warisan Alam sempena Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2026.

“Pemilihan Kampung Orang Asli Bukit Lanjan, Desa Temuan, di sini, sebagai lokasi rasmi pada tahun ini merupakan satu pengiktirafan dan penghormatan terhadap komuniti Orang Asli yang secara tradisinya merupakan ‘penjaga alam’ semula jadi.

“Kelestarian alam dan kelangsungan warisan budaya saling berkait rapat,” katanya dalam satu kenyataan.

Program yang berlangsung di Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Lanjan, Desa Temuan semalam memberi penekanan kepada elemen komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA).

Antara pengisian utama ialah kempen kitar semula barangan elektrik dan elektronik (e-waste) serta pengumpulan minyak masak terpakai menerusi inisiatif Trash-to-Cash.

Turut diadakan sesi penerangan mengenai pembakaran terbuka dan asap hitam, demonstrasi keselamatan serta pencegahan kebakaran, selain pengukuran bunyi bising, kualiti air dan penggunaan dron pemantauan.

Program itu dianjurkan bersama JAS WPKL bersama pelbagai pihak lain antaranya Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Desa Temuan dan stesen radio RTM, Asyikfm.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.