Malaysia catat 1.33 juta pertubuhan aktif menerusi Banci Ekonomi 2026

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 2 November – Malaysia merekodkan 1.33 juta pertubuhan aktif menerusi Banci Ekonomi 2026 (BE2026), meningkat daripada 1.09 juta berdasarkan banci terdahulu, sekali gus mencerminkan perkembangan berterusan landskap perniagaan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sektor perkhidmatan mendominasi, menyumbang 87.5%; perdagangan borong dan runcit terbesar dengan 39.5%, perkhidmatan makanan dan minuman 14.2%.
  • Subsektor perkhidmatan kewangan mencatat pertumbuhan tahunan tertinggi 14.7%, diikuti subsektor penginapan 14.5%.
  • Selangor, Kuala Lumpur dan Johor menjadi pusat perniagaan utama, menampung 48.3% pertubuhan dengan jumlah 643,355.
  • DOSM akan jalankan operasi susulan 1 hingga 20 November; dapatan terperinci BE2026 dijangka diterbitkan April 2027.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, angka itu merangkumi 99.3 peratus daripada keseluruhan 1.34 juta premis yang dibanci bagi tahun rujukan 2025.

“Sektor perkhidmatan mendominasi dengan 1.17 juta pertubuhan atau 87.5 peratus daripada jumlah keseluruhan, diikuti pembinaan dengan 86,200 pertubuhan atau 6.5 peratus dan sektor pembuatan dengan 61,000 pertubuhan atau 4.6 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Dalam sektor perkhidmatan, perdagangan borong dan runcit mencatatkan bahagian terbesar, iaitu 39.5 peratus, diikuti perkhidmatan makanan dan minuman sebanyak 14.2 peratus.

Sementara itu, subsektor perkhidmatan kewangan merekodkan pertumbuhan tahunan tertinggi dari segi bilangan pertubuhan, iaitu 14.7 peratus, diikuti subsektor penginapan sebanyak 14.5 peratus.

DOSM turut memaklumkan Selangor, Kuala Lumpur dan Johor menjadi hab perniagaan utama negara, dengan gabungan 643,355 pertubuhan aktif, bersamaan 48.3 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Dalam sektor pembuatan, produk makanan mencatatkan jumlah pertubuhan tertinggi iaitu 19.3 peratus, diikuti produk galian bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka sebanyak 18.4 peratus.

“Subsektor produk elektrik, elektronik dan optik mencatatkan pertumbuhan 3.1 peratus dari segi bilangan pertubuhan berbanding 2022, selaras dengan inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang memberi penekanan kepada pembangunan industri pertumbuhan tinggi, nilai tinggi sebagai antara bidang tumpuan strategik negara,” katanya.

Dalam sektor pertanian pula, tanaman makanan mencatatkan pertumbuhan 17 peratus, manakala ternakan ruminan dan tenusu meningkat 19 peratus.

Banci berkenaan turut mengenal pasti 93,597 pertubuhan tidak formal, termasuk penjaja jalanan dan perniagaan bergerak, selain 71,101 unit rumah percutian.

DOSM akan melaksanakan operasi susulan selama tiga minggu, dari 1 hingga 20 November, bagi memastikan liputan banci menyeluruh dan mengelakkan pertubuhan tercicir.

Dapatan terperinci BE2026 dijadualkan diterbitkan pada April 2027, selepas proses pemprosesan dan analisis data selesai. Angka awal yang diumumkan masih tertakluk kepada semakan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.