Kualiti data korpus perkasa Bahasa Melayu dalam era AI

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Syamimi Turiman

KUALA LUMPUR, 2 November – Kualiti dan kesahihan data perlu diutamakan berbanding kuantiti bagi memastikan bahasa Melayu mampu bersaing dalam perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).

RINGKASAN BERITA AI
  • Ambil kira variasi bahasa Melayu termasuk formal, tidak formal, campur kod dan singkatan dalam pembangunan pangkalan data korpus.
  • Pengaruh bahasa Inggeris dalam media harian mempengaruhi corak penggunaan generasi muda; pengukuhan penguasaan Melayu perlu diteruskan.
  • Perlu usaha berterusan dan berstruktur dari sekolah hingga peringkat kebangsaan untuk memperkukuh Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan teknologi masa depan.

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Syamimi Turiman berkata, usaha membangunkan pangkalan data bahasa Melayu, termasuk oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), perlu memberi penekanan terhadap ketepatan data korpus, selaras dengan inisiatif Belanjawan 2027.

“Perkara yang lebih penting bukan sekadar memperbanyak data, tetapi memastikan kualitinya. Apabila kesahihan dan ketepatan data dalam korpus atau pangkalan data dapat dipastikan, bahasa Melayu dapat diwakili secara tepat dan autentik,” katanya.

Beliau berkata, bahasa Melayu mempunyai keunikan tersendiri kerana merangkumi pelbagai variasi penggunaan, termasuk bahasa formal, bahasa tidak formal, percampuran kod dan singkatan yang perlu diambil kira dalam pembangunan pangkalan data bahasa.

Mengulas penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda, Dr. Syamimi berkata, penguasaan bahasa itu masih berada pada tahap yang baik, namun corak penggunaan media harian yang banyak memaparkan kandungan berbahasa Inggeris turut mempengaruhi kecenderungan bahasa mereka.

Katanya, penggunaan bahasa Melayu juga tidak terbatas di dalam negara, malah turut berkembang di peringkat antarabangsa menerusi komuniti penuturnya di negara seperti Rusia dan China.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa usaha memperkukuh bahasa Melayu perlu dilaksanakan secara berterusan dan berstruktur, bermula dari peringkat sekolah dan universiti hingga ke peringkat kebangsaan.

Usaha itu penting bagi memastikan bahasa Melayu bukan sahaja kekal sebagai bahasa komunikasi harian, malah terus diperkasa sebagai bahasa ilmu dan bahasa yang mampu mendukung pembangunan teknologi masa hadapan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.