Pahang naikkan bayaran sara hidup peserta RPSK

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail/Foto MB Pahang

KUANTAN, 30 Oktober – Kerajaan Negeri Pahang menaikkan kadar Bayaran Sara Hidup bulanan bagi peserta Rancangan Penempatan Semula Keselamatan (RPSK) daripada RM1,000 kepada RM1,100 seorang sebulan bermula Januari 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan dicapai melalui Mesyuarat Lembaga Pengarah PKPP untuk meringankan beban kewangan peserta di empat rancangan penempatan.
  • Manfaat diberikan secara langsung kepada 563 peserta RPSK di Sungai Chalit, Merapoh, Peruang dan Jerkoh.
  • Penambahbaikan kadar tidak disemak sejak 2013 dan melibatkan implikasi kewangan tambahan RM675,600 setahun kepada Kerajaan Negeri.

Keputusan berkenaan dicapai menerusi Mesyuarat Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) bagi membantu meringankan beban kewangan peserta di empat buah rancangan penempatan di negeri ini.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, inisiatif tersebut bakal memberi manfaat secara langsung kepada seramai 563 orang peserta RPSK yang merangkumi kawasan Sungai Chalit di Raub serta Merapoh, Peruang dan Jerkoh di daerah Lipis.

“Penambahbaikan kadar berkenaan dibuat selepas mengambil kira kadar bayaran sara hidup berkenaan yang tidak pernah disemak semula sejak tahun 2013.

“Kenaikan ini merupakan usaha Kerajaan Negeri untuk terus memberikan perhatian terhadap kebajikan dan keperluan sara hidup peserta RPSK, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos kehidupan semasa.

“Sudah tiba masanya kadar bayaran ini dinilai semula agar lebih bersesuaian dengan keadaan dan keperluan semasa. Pelaksanaan kenaikan ini melibatkan tambahan implikasi kewangan sebanyak RM675,600 setahun kepada Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menzahirkan harapan agar pelarasan baharu itu dapat memberikan kelegaan kewangan kepada para peserta bersama keluarga masing-masing dalam mengurus perbelanjaan harian.

Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri Pahang kekal komited untuk memastikan kebajikan rakyat di semua peringkat sentiasa terbela dan diberi keutamaan selaras dengan matlamat Aspirasi Pahang 1st.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.