
GEORGE TOWN, 27 Oktober – Seramai 23 gelandangan berjaya diselamatkan dalam operasi bersepadu, awal pagi tadi mengikut Akta Orang Papa (AOP) 1977.
- Operasi bertujuan menyelamat, memberi perlindungan sementara serta melengkapkan profil gelandangan.
- Orang ramai dinasihat menyalurkan sumbangan ke Pusat Transit Harapan, bukan kepada gelandangan di tepi jalan.
- Operasi menyantuni 46 individu di 15 lokasi; 18 diberi amaran, dua diserahkan kepada AADK, baki disaring untuk pengenalan diri dan pemeriksaan kesihatan.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim berkata pelaksanaan operasi oleh pelbagai agensi itu bertujuan menyelamat, memberi perlindungan sementara serta melengkapkan profil gelandangan baharu dan sedia ada.
“Saya menasihatkan orang ramai memberi sumbangan makanan atau wang tunai terus ke Pusat Transit Harapan (PTH).
“Saranan itu agar amalan memberi sumbangan di tepi jalan tidak berterusan memandangkan senario itu menjadi punca utama golongan berkenaan menjadi gelandangan dan tinggal di jalanan,”katanya selepas menyertai Operasi Bersepadu Gelandangan sekitar sini.
Operasi secara keseluruhan telah menyantuni 46 individu melibatkan 15 lokasi tumpuan, antaranya sekitar Terminal Bas Komtar, Pasar Chowrasta, Padang Brown, dan Padang Kota Lama.
Hasil tindakan susulan, seramai 18 individu dilepaskan dengan amaran, dua diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), manakala baki gelandangan disaring bagi urusan pengenalan diri serta pemeriksaan kesihatan.