
MARINA BAY SANDS, 26 Oktober – Pengukuhan grid kuasa, fleksibiliti sistem, kemudahan penyimpanan tenaga dan kepelbagaian sumber tenaga menjadi antara keutamaan yang diketengahkan Malaysia bagi memastikan bekalan tenaga ASEAN kekal terjamin pada masa depan.
- Pertumbuhan ekonomi dan peningkatan penggunaan elektrik menuntut tindakan segera bagi keselamatan tenaga ASEAN.
- Grid Kuasa ASEAN mesti direalisasikan melalui pembangunan infrastruktur, perdagangan rentas sempadan dan jaminan keselamatan tenaga yang konkrit.
- Projek integrasi tenaga Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura membuktikan perdagangan elektrik pelbagai hala boleh dilaksanakan.
- Kerjasama Malaysia dan Singapura mengukuhkan hubungan sistem tenaga sebagai jambatan keselamatan dan memperluas integrasi tenaga boleh baharu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keperluan itu semakin mendesak susulan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan penggunaan elektrik di Asia Tenggara.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, Grid Kuasa ASEAN perlu direalisasikan menerusi pembangunan infrastruktur, perdagangan tenaga rentas sempadan dan jaminan keselamatan tenaga yang konkrit, bukan sekadar komitmen lisan.
Katanya, Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia-Singapura menjadi antara contoh yang membuktikan perdagangan elektrik pelbagai hala di rantau ini mampu dilaksanakan.
“Malaysia dan Singapura kini bekerjasama untuk melangkah lebih jauh melalui peningkatan perdagangan rentas sempadan dan hubungan antara sistem tenaga.
“Hubungan ini bukan sekadar kabel yang membawa elektrik merentasi sempadan, sebaliknya menjadi jambatan keselamatan tenaga. Dalam keadaan stabil, hubungan ini meningkatkan kecekapan dan membantu kita mengintegrasikan lebih banyak tenaga boleh baharu,” katanya ketika berucap pada Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) 2026 di Singapura.
Pengukuhan kerjasama tenaga serantau dijangka memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan penggunaan sumber, memperluas integrasi tenaga boleh baharu dan memperkukuh daya tahan bekalan elektrik ASEAN.