
PUTRAJAYA, 25 Oktober – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan bersenjata menyasarkan Gereja Hamoud di Wilayah Karak, Jordan, yang mengorbankan lapan nyawa dan mencederakan puluhan yang lain.
- Mengucapkan takziah kepada Kerajaan Hasyimiah Jordan, rakyat dan keluarga mangsa.
- Mengecam serangan terhadap rumah ibadat sebagai pencabulan kesucian yang sama sekali tidak boleh diterima.
- Menegaskan penolakan terhadap keganasan dan ekstremisme tanpa mengira motif atau alasan.
- Komitmen memperkukuh hubungan dua hala dengan Jordan serta memupuk keharmonian antara agama dan keamanan sejagat.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan Malaysia turut merakamkan ucapan takziah kepada Kerajaan Hasyimiah Jordan, rakyat negara itu serta keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden berkenaan.
Malaysia juga menyatakan solidariti dengan Jordan dan menegaskan bahawa serangan terhadap rumah ibadat merupakan pencabulan terhadap kesucian tempat ibadat serta sama sekali tidak boleh diterima.
“Malaysia bersama Kerajaan Hasyimiah Jordan dalam menolak keganasan dan ekstremisme dalam apa jua bentuk, tanpa mengira motif atau alasan.
“Perbuatan sedemikian juga bertentangan dengan nilai Islam yang menjunjung keamanan, belas kasihan, toleransi dan penghormatan terhadap sesama manusia,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu turut menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan dua hala yang erat dan sekian lama terjalin dengan Jordan, termasuk menerusi usaha memupuk keharmonian antara agama serta menyumbang kepada keamanan dan kestabilan sejagat.