
TEMERLOH, 16 Oktober – Sepuluh individu tempatan positif syabu dan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), malam tadi.
- Operasi susulan statistik kemalangan Pahang: 2,161 kemalangan dan 44 kematian dari Januari hingga September.
- Pemeriksaan: 371 kenderaan, 388 individu diperiksa dan 139 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
- AADK jalankan ujian air kencing ke atas 68 individu; tujuh didapati positif syabu. JPJ dan JAS turut mengeluarkan notis.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Nasyim Bahron berkata, operasi dijalankan susulan statistik kemalangan jalan raya di Pahang yang membimbangkan.
“Dari Januari hingga September, sebanyak 2,161 kemalangan jalan raya dicatatkan di Pahang dengan 44 kematian. Angka itu agak tinggi.
“Kita memohon kerjasama masyarakat untuk bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi penguatkuasaan lain membantu menjaga nyawa dan keselamatan harta benda masing-masing,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika meninjau pelaksanaan operasi berkenaan, di sini.
Mengulas lanjut, ACP Mohd Nasyim berkata, pihaknya memeriksa 371 kenderaan dan 388 individu serta mengeluarkan 139 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Antara kesalahan utama dikesan ialah nombor pendaftaran tidak mematuhi peraturan, memandu laju serta Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh.
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pahang pula menjalankan ujian air kencing terhadap 68 individu dengan tujuh daripadanya positif syabu.
“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan 96 notis P22, manakala Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan dua notis kompaun dan tiga notis arahan menjalani ujian semula, selain lapan sijil perakuan melibatkan kenderaan diesel,” jelasnya.
Operasi selama empat jam bermula 8 malam itu dijalankan serentak di R&R Temerloh arah timur dan barat.