13 kanak-kanak maut dalam tragedi perahu terbalik

Perahu yang dipercayai dinaiki 13 kanak-kanak yang maut di Sungai Ganga/ VIORY

PATNA, 15 Oktober – Sekurang-kurangnya 13 kanak-kanak maut selepas sebuah perahu yang dilaporkan membawa kira-kira 20 penumpang terbalik di Sungai Ganga, di negeri Bihar, timur India, pada Selasa ketika dalam perjalanan ke sebuah pesta keagamaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pihak berkuasa menyiasat kemungkinan bot terlebih muatan selepas menemui lubang besar pada struktur dek.
  • Bot persendirian direka untuk kira-kira lima penumpang tetapi dilaporkan membawa sekitar 20, memulakan perjalanan selepas matahari terbenam.
  • Ketua Menteri mengumumkan pampasan 400,000 rupee setiap keluarga yang kehilangan ahli keluarga.

Pihak berkuasa sedang menyiasat kemungkinan perhau berkenaan terlebih muatan selepas mendapati terdapat lubang besar pada struktur bot berkenaan.

Perahu tersebut terbalik di tebing sungai di daerah Vaishali, dengan lubang jelas kelihatan pada bahagian dek.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, turut menyampaikan ucapan takziah atas tragedi yang disifatkannya sebagai amat menyedihkan itu.

Menurut bapa salah seorang mangsa, Suresh Rai, perahu tersebut sempat bergerak kita-kira 50 meter sebelum terbalik.

“Perahu itu baru bergerak kira-kira 50 meter sebelum terbalik. Apabila mereka terjatuh ke dalam air, semuanya mula menjerit. Kami semua keluar dari rumah. Terdapat kira-kira lima hingga 10 orang dan kami berjaya menyelamatkan sekitar lima orang.

“Kumpulan kedua pula dibantu oleh 10 hingga 15 orang. Mereka semua terjatuh ke dalam air,” kata Suresh Rai.

Perahu tersebut dilaporkan membawa sekurang-kurangnya 20 penumpang, kebanyakannya kanak-kanak, berhampiran kampung Rampur Shyamchand di kawasan Raghopur, daerah Vaishali.

Polis berkata perahu yang dikendalikan secara persendirian itu hanya direka untuk membawa kira-kira lima penumpang. Perahu berkenaan juga memulakan perjalanan selepas matahari terbenam, sekali gus melanggar peraturan keselamatan tempatan.

Siasatan diarahkan bagi meneliti keadaan bot serta kemungkinan ia terlebih muatan, susulan dakwaan penduduk bahawa keadaan perahu lama itu semakin merosot sejak beberapa tahun lalu.

Enam mangsa yang terselamat dilaporkan menerima rawatan di Kolej Perubatan dan Hospital Nalanda di Patna selepas diselamatkan dari sungai.

Ibu kepada salah seorang kanak-kanak yang terselamat, Sonia Devi berkata, keadaan anak perempuannya baik namun masih menanti pemakluman terkini daripada doktor.

“Keadaan mereka baik. Anak perempuan saya kini sudah pulih. Namun, doktor berkata kami perlu menunggu selama 36 jam. Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Kita tunggu dan lihat,” kata Sonia Devi.

Pasukan penyelamat menemukan mayat 13 kanak-kanak, manakala pihak berkuasa melaporkan tiada penemuan mayat tambahan setakat Rabu.

Ketua Menteri Bihar, Samrat Choudhary, mengumumkan pampasan sebanyak 400,000 rupee India kepada setiap keluarga yang kehilangan ahli keluarga dalam tragedi itu.- VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.