Pertukaran Jefri, Arrifin perkukuh ekosistem sukan negara

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 15 Oktober – Pertukaran penempatan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, dengan Pesuruhjaya Sukan, Arrifin Mohd Ghani, merupakan sebahagian daripada strategi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memperkukuh ekosistem sukan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penstrukturan mengambil kira pengalaman dan kepakaran kedua-dua pegawai untuk memperkasakan peranan agensi selepas kelulusan RUU Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026.
  • Pengalaman Jefri dengan persatuan sukan dan atlet dianggap kelebihan untuk memantapkan tadbir urus Pesuruhjaya Sukan.
  • Arrifin berpengalaman sebagai bekas atlet; pengalaman itu mendorong penstrukturan bagi mengukuhkan peranan agensi.
  • Keputusan dibuat secara pertimbangan bersama Lembaga Pengarah MSN dan pengurusan tertinggi KBS, bukan tindakan mengejut individu.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, penstrukturan itu mengambil kira pengalaman serta kepakaran kedua-dua pegawai berkenaan bagi memperkasakan peranan agensi masing-masing, khususnya susulan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026.

“Berdasarkan pengalaman Jefri bersama persatuan sukan, atlet dan sebagainya, kita melihat peranan beliau di Pesuruhjaya Sukan dapat diperkukuhkan lagi.

“Arrifin pula berpengalaman sebagai bekas atlet dan mempunyai pengalaman lain yang mendorong kita melakukan penstrukturan supaya ekosistem sukan negara menjadi lebih kukuh pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Olimpik Remaja Dakar 2026 di Senegal, hari ini.

Menerusi pertukaran yang berkuat kuasa hari ini, Arrifin dilantik sebagai Ketua Pengarah MSN, manakala Jefri mengambil alih jawatan Pesuruhjaya Sukan.

Dr Mohammed Taufiq berkata, pindaan RUU berkenaan memperkukuh kuasa dan peranan Pesuruhjaya Sukan, sekali gus menjadikan pengalaman Jefri dalam berurusan dengan persatuan sukan dan atlet sebagai kelebihan untuk memantapkan tadbir urus badan sukan negara.

Beliau menegaskan pertukaran itu bukan keputusan mengejut atau dibuat secara individu, sebaliknya melalui proses pertimbangan bersama Lembaga Pengarah MSN dan pengurusan tertinggi KBS.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.