
KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2026 menerima 1,601 pencalonan bagi kategori televisyen, radio dan media baharu.
- Pertandingan merangkumi 40 kategori televisyen, 17 kategori radio, tiga kategori media baharu dan dua kategori khas.
- ASA mengiktiraf sumbangan penggiat belakang tabir termasuk penerbit, penulis skrip, pengarah, jurukamera, penyunting dan kru teknikal.
- Kementerian menyeru industri kreatif hasilkan kandungan tempatan bermutu, berdaya saing dan mampu menembusi pasaran antarabangsa.
- Malam kemuncak ASA 2026 dijadualkan pada 24 Oktober di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
ASA edisi ke-37 bertemakan “Segalanya Bermula Di Sini” itu menerima 1,106 penyertaan bagi kategori televisyen, radio (421) dan media baharu (74).
Anugerah itu mempertandingkan 40 kategori televisyen, 17 kategori radio dan tiga kategori media baharu, selain dua kategori khas, iaitu Anugerah Khas Juri dan Anugerah Tokoh Seri Angkasa.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah berkata pengiktirafan menerusi ASA turut merangkumi sumbangan penggiat di belakang tabir termasuk penerbit, penulis skrip, pengarah, jurukamera, penyunting dan kru teknikal.
Beliau berkata kecemerlangan industri kreatif bukan bergantung pada teknologi semata-mata, sebaliknya lahir daripada gabungan bakat, kreativiti, keberanian mencuba dan usaha menghasilkan karya bermakna.
“ASA bukan sekadar pentas anugerah, tetapi pentas penghormatan kepada mereka yang memilih untuk berkarya, berani untuk mencuba dan tidak pernah berhenti mempercayai bahawa sesebuah karya mampu menyentuh hati manusia,” katanya ketika berucap pada Majlis Kira Detik Anugerah Seri Angkasa 2026 di sini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Datuk Bahria Mohd Tamil.
Dalam pada itu, Datuk Abdul Halim berkata industri kreatif Malaysia perlu menghasilkan kandungan tempatan yang bermutu, berdaya saing dan mampu menembusi pasaran antarabangsa.
“Kita mesti berani menjadi pencipta. Kita tidak boleh hanya mengimport cerita dari seluruh dunia. Kita mesti membawa cerita Malaysia ke seluruh dunia kerana kita sendiri mempunyai kisah tentang keberanian, mempunyai budaya yang kaya, bahasa yang mudah dan kepelbagaian yang unik,” katanya.
Malam Kemuncak ASA 2026 akan berlangsung pada 24 Oktober ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.- BERNAMA