
KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Pendidikan digital kanak-kanak perempuan perlu diperkukuh bukan sahaja melalui penyediaan kemudahan teknologi, malah dengan memastikan akses, kemahiran dan peluang pembelajaran yang saksama, khususnya bagi murid di kawasan luar bandar dan komuniti terpinggir.
- Perkukuh infrastruktur dan latihan guru termasuk kemahiran penggunaan AI untuk memastikan pemanfaatan teknologi pendidikan yang berkesan.
- Melindungi kanak-kanak daripada buli siber melalui kerjasama ibu bapa, sekolah, kerajaan dan syarikat teknologi serta sokongan psikologi.
- Perluasan inisiatif seperti K9 dan K11 memberi peluang pembelajaran bermakna kepada kanak-kanak luar bandar dan komuniti terpinggir.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, penyediaan peranti semata-mata tidak mencukupi tanpa infrastruktur yang memadai, akses kepada pembelajaran digital serta peningkatan kemahiran guru, termasuk dalam penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menurutnya, pendidikan merupakan hak setiap kanak-kanak dan usaha memperluas akses perlu disusuli peluang pembelajaran digital yang bermakna bagi memastikan mereka dapat memanfaatkan teknologi untuk membina masa depan.
“Justeru, pada tahun ini, beberapa inisiatif seperti program K9 dan K11 diperkenalkan bagi membantu kanak-kanak di kawasan pedalaman meneruskan persekolahan, merangkumi pendidikan di peringkat rendah dan menengah.
“Selain itu, akses pendidikan turut diperluas kepada komuniti yang kurang mendapat kemudahan menerusi pelaksanaan inisiatif khas. Namun, memastikan kanak-kanak perempuan terus bersekolah hanyalah langkah permulaan.
“Cabaran seterusnya adalah memastikan mereka benar-benar dapat memanfaatkan teknologi,” katanya ketika membincangkan usaha memperkasa pendidikan dan kepimpinan wanita dalam era digital menerusi sesi dialog Forum Ekonomi Wanita hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Fadhlina berkata, lima peratus pelajar di Malaysia dilaporkan mengalami buli siber, termasuk penyebaran maklumat memudaratkan mengenai mereka tanpa kebenaran, berbanding purata tiga peratus di negara anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), berdasarkan data PISA 2025 yang dirujuk dalam perbincangan itu.
Sehubungan itu, beliau menegaskan usaha melindungi kanak-kanak di alam maya memerlukan kerjasama menyeluruh antara ibu bapa, pihak sekolah, kerajaan dan syarikat teknologi.
Katanya, pendidikan kewarganegaraan digital, pemikiran kritis serta nilai saling menghormati perlu diperkukuh, selain penyediaan mekanisme aduan yang mudah diakses, sokongan psikologi dan tindakan susulan berkesan bagi menangani kes gangguan siber.
Forum Ekonomi Wanita yang berlangsung dari 14 hingga 17 Oktober itu menghimpunkan pemimpin wanita global, pembuat dasar, tokoh korporat, usahawan dan penggerak perubahan dari pelbagai negara bagi memperkukuh kepimpinan wanita, memperluas peluang ekonomi serta memacu pembangunan mampan dan inklusif.