
KUCHING, 14 Oktober- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar berburu di hutan dekat Kampung Emparuh Jambu, Padawan, memasuki hari keenam hari ini.
- Setakat ini, tiada petunjuk ditemui mengenai keberadaan Christie Fidelis Batest, 53.
- Operasi diteruskan di hutan Emperuh sekitar tiga kilometer dari rumah mangsa, melibatkan 32 anggota pelbagai agensi.
- Christie dilaporkan keluar malam membawa senapang patah untuk berburu; motosikalnya ditemui diparkir sebelum keluarga buat laporan polis.
Bagaimanapun, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan, Mohammad Imran Sabri berkata setakat hari ini, masih belum ditemukan sebarang petunjuk mengenai keberadaan mangsa, Christie Fidelis Batest, 53.
Mohammad Imran Sabri berkata operasi hari ini diteruskan di kawasan hutan Emperuh, kira-kira tiga kilometer dari rumah mangsa, dengan penglibatan 32 anggota daripada pelbagai agensi.
Beliau berkata, setakat pukul 10.00 pagi ini, pasukan SAR masih belum menemui mangsa.
Dalam kejadian pada 7 Oktober lalu, Christie dilaporkan keluar rumah pada waktu malam dengan membawa selaras senapang patah untuk berburu di hutan belakang rumah sepupunya.
Selepas hampir 24 jam mangsa tidak pulang, keluarganya menjalankan usaha mencari dan menemukan motosikal mangsa diparkir di tepi jalan sebelum laporan polis dibuat.