
KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sedang meneliti keperluan sebenar bekalan elektrik dan air bagi pusat data, susulan permohonan kapasiti elektrik yang didapati melebihi penggunaan sebenar.
- Suruhanjaya Tenaga mengkaji jurang antara kapasiti elektrik dipohon dengan penggunaan sebenar oleh pengusaha pusat data.
- Kajian menyeluruh diperlukan agar perancangan bekalan tenaga dan penggunaan air serta elektrik dapat dibuat lebih tepat.
- Penilaian pelaburan pusat data mesti mengambil kira manfaat kepada negara dan rakyat, jenis data, serta penggunaan elektrik dan air; sokongan AI diiktiraf.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang mengkaji jurang antara kapasiti elektrik yang dipohon dengan penggunaan sebenar oleh pengusaha pusat data.
“Kita tahu permintaan kapasiti elektrik bagi pusat data ini tinggi, tetapi penggunaan sebenarnya lebih rendah. Keadaan ini boleh menimbulkan bebanan.
“Sehubungan itu, kita perlu mengkaji secara menyeluruh keperluan sebenar pusat data, termasuk penggunaan elektriknya, supaya perancangan bekalan tenaga dapat dibuat dengan lebih tepat,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai jumlah kapasiti penjanaan elektrik bersih baharu yang dijangka beroperasi menjelang 2030, serta kapasiti yang telah dikontrakkan melalui Perjanjian Bekalan Tenaga dengan pengusaha pusat data.
Menurut Datuk Seri Abdul Rahman, penilaian terhadap pelaburan pusat data perlu mengambil kira manfaatnya kepada negara dan rakyat, selain nilai pelaburan yang dibawa masuk.
Kerajaan turut mengiktiraf keperluan pusat data yang menyokong perkembangan kecerdasan buatan (AI), namun penilaian perlu merangkumi jenis data yang dikendalikan, manfaat kepada rakyat serta penggunaan elektrik dan air.