
PUTRAJAYA, 12 Oktober – Kementerian Pengangkutan (MOT) menggesa pengusaha kenderaan perdagangan memasang sistem telematik sebagai langkah memperkukuh keselamatan jalan raya.
- Langkah advokasi oleh Kementerian sebelum pelaksanaan sistem telematik diwajibkan secara berperingkat.
- Kerajaan galakkan pemasangan secara sukarela sementara kaedah mandatori masih belum dimuktamadkan.
- JPJ mentauliahkan enam vendor swasta memenuhi piawaian keselamatan untuk menyediakan sistem telematik.
- Teknologi sedia ada seperti dashcam dengan perisian memantau mata, tingkah laku, membrek, pecut dan pengaruh dadah atau alkohol.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook langkah advokasi itu diambil sebelum pelaksanaan sistem berkenaan yang akan diwajibkan secara berperingkat pada masa akan datang.
Kerajaan ketika ini menggalakkan penggunaan sistem berkenaan secara sukarela sementara kaedah pelaksanaan secara mandatori masih belum dimuktamadkan.
“Langkah ini penting kerana banyak kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan berpunca daripada pemandu yang berada di bawah pengaruh dadah.
“Tanpa sistem telematik, usaha mencegah kejadian sedemikian akan menjadi lebih sukar. Hukuman yang lebih berat sahaja tidak mampu membendung masalah ini sepenuhnya.
“Sebaliknya, kita perlu memberi tumpuan kepada langkah pencegahan dengan menangani punca masalah, bukan sekadar mengenakan hukuman,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mentauliahkan enam vendor swasta yang memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan bagi menyediakan sistem telematik berkenaan.
Sehubungan itu, pengusaha kenderaan perdagangan bebas memilih mana-mana vendor bertauliah bagi pemasangan sistem berkenaan.
“Ini bukan sistem baharu kerana teknologinya sudah berada di pasaran, antaranya seperti kamera papan pemuka (dashcam) yang dilengkapi perisian untuk memantau pergerakan dan tingkah laku pemandu.
“Melalui aplikasi tersebut, pengguna boleh memantau pergerakan mata pemandu, tingkah laku ketika memandu, kekerapan membrek serta tindakan memecut. Semua maklumat berkenaan juga boleh direkodkan menerusi sistem telematik itu,” katanya lagi.
Menurut Anthony Loke Siew Fook, sistem telematik berupaya memantau tingkah laku pemandu, termasuk corak pemanduan dan pengesan pengaruh dadah atau alkohol.