
KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Pelaksanaan gaji minimum perlu seiring dengan gaji yang setimpal kepada pekerja berkemahiran dan berkelayakan bagi memastikan struktur pendapatan kekal seimbang.
- Cabaran utama terletak pada pelaksanaan; kementerian perlu menggariskan kaedah terbaik bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum berkesan.
- Pekerja berkemahiran bertaraf ijazah perlu diberi pertimbangan sewajarnya agar kedudukan gaji setaraf dengan kelayakan pendidikan.
- Pendekatan menyeluruh dan keterangkuman penting supaya kenaikan gaji tidak tertumpu hanya kepada golongan berpendapatan terendah.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perkara itu penting bagi mengelak berlaku pemampatan gaji yang berpotensi mewujudkan kenaikan gaji secara tidak sekata.
“Cabaran utama sudah pasti terletak pada aspek pelaksanaannya. Justeru, kementerian terlibat perlu menggariskan kaedah terbaik bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum bukan sahaja melibatkan kenaikan gaji pada paras terendah, malah turut mengambil kira pergerakan struktur gaji agar golongan pekerja yang mempunyai kelayakan lebih tinggi turut menerima kenaikan gaji yang setimpal,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, pekerja berkemahiran yang memiliki ijazah perlu turut diberi pertimbangan sewajarnya dalam pelaksanaan gaji minimum bagi memastikan kedudukan gaji mereka setaraf dengan kelayakan pendidikan.
Justeru katanya, pendekatan secara menyeluruh penting supaya peningkatan gaji tidak hanya tertumpu kepada pekerja pada paras pendapatan terendah.
Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai pengumuman Belanjawan 2027 yang turut menyentuh kenaikan gaji minimum dari RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027.
Sementara itu, Akmal turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2027 terutamanya usaha meneruskan pembangunan mampan dan memperkukuh daya tahan ekonomi domestik.
Usaha berkenaan katanya, penting ketika ekonomi negara masih berdepan ketidaktentuan global yang memerlukan pengukuhan kekuatan ekonomi di peringkat tempatan.
Selain itu, beliau berkata penekanan Belanjawan 2027 terhadap agenda gaji penting dengan tumpuan kepada aspek keterangkuman supaya pekerja memperoleh pulangan yang lebih setimpal.
Beliau ditemui selepas Forum Menteri sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFUTURE) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.
Forum bertajuk “Suara Masa Hadapan: Perbincangan Mengenai Kepimpinan dan Pembinaan Negara Bangsa” itu turut menampilkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.