
PUTRAJAYA, 10 Oktober – Malaysia dan Mesir memperkukuh kerjasama dua hala menerusi pemeteraian empat Memorandum Persefahaman (MoU) meliputi bidang pemerkasaan wanita, pendidikan tinggi, pelancongan serta pelaburan.
- Pertukaran MoU antara wakil Malaysia dan Mesir disempurnakan oleh Datuk Seri Nancy Shukri bersama Dr. Badr Ahmed Mohamed Abdelatty.
- Dr. Badr mewakili Mesir dalam pertukaran MoU bersama Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Datuk Seri Tiong King Sing.
- MoU antara Datuk Seri Johari Abdul Ghani dengan Dr. Mohamed Farid Saleh dimeterai mewakili kedua-dua pihak.
- Majlis disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi di Kompleks Seri Perdana; menegaskan komitmen memperkukuh hubungan strategik.
Pertukaran MoU dalam bidang pemerkasaan wanita disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri bersama Menteri Luar Negeri, Kerjasama Antarabangsa dan Ekspatriat Mesir, Dr. Badr Ahmed Mohamed Abdelatty.
Dr. Badr turut mewakili Mesir bagi pertukaran MoU berkaitan pendidikan tinggi bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, serta sektor pelancongan bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Turut dimeterai MoU dalam bidang pelaburan antara Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dengan Menteri Pelaburan dan Perdagangan Luar Mesir, Dr. Mohamed Farid Saleh.
Majlis pertukaran dan pemeteraian MoU itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi di Kompleks Seri Perdana, di sini, hari ini.
Pemeteraian keempat-empat MoU itu mencerminkan komitmen Malaysia dan Mesir untuk memperluas kerjasama dalam pelbagai sektor, sekali gus menyediakan platform penting ke arah memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua negara.