Belanjawan 2027 pacu pembangunan, atasi banjir di Kelantan

Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 10 Oktober – Belanjawan 2027 memberi impak besar terhadap pembangunan negeri Kelantan, termasuk potensi menangani sehingga 80 peratus masalah banjir menerusi cadangan pembinaan Empangan Lebir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan menghargai Belanjawan 2027 yang memperbanyak projek berimpak tinggi untuk pembangunan negeri Kelantan.
  • Perancangan pembinaan Empangan Lebir bagi menangani banjir dan meningkatkan bekalan air bersih di Kelantan.
  • Sambungan ECRL ke Rantau Panjang dan Terminal Kota Bharu di Tunjung memperkukuh sistem logistik serta merancakkan aktiviti sosioekonomi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal berkata, kerajaan negeri menghargai komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memperbanyak pelaksanaan projek berimpak tinggi di negeri itu.

“Belanjawan untuk negeri Kelantan sangat baik bagi pembangunan. Saya berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana dapat memperbanyak projek berimpak tinggi di negeri ini,” katanya ketika mengulas mengenai Belanjawan 2027 selepas menyempurnakan Perasmian Hari Sukan Negara (HSN) 2026 Peringkat Negeri Kelantan, di sini.

Selain Empangan Lebir, projek lain yang turut diberi perhatian ialah pembinaan Terminal Kota Bharu di Tunjung berhampiran stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka memperkukuh sistem logistik bersepadu.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah menyediakan tanah seluas lima ekar di Tunjung bagi pembinaan terminal bas berkenaan yang kini dalam proses penyediaan tapak.

Penyambungan laluan ECRL ke Rantau Panjang pula diyakini mampu merancakkan aktiviti sosioekonomi penduduk setempat.

Sementara itu, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean berkata, kerajaan negeri sudah bersiap siaga menghadapi kemungkinan banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Lokasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di setiap jajahan telah dikenal pasti, manakala mesyuarat persediaan menghadapi banjir telah diadakan di peringkat negeri dan jajahan, dengan satu lagi mesyuarat penyelarasan dijadual diadakan dalam masa terdekat.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2027 memaklumkan persetujuan Malaysia dan China untuk menyambung jajaran projek ECRL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, selain perancangan pembinaan Empangan Lebir bagi menangani masalah banjir dan meningkatkan bekalan air bersih di Kelantan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.