
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyambut baik kenaikan kadar gaji minimum kepada RM2,000 dalam Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- KWSP melihat langkah tersebut sebagai reformasi penting pasaran tenaga kerja, memastikan pekerja menerima bahagian lebih adil daripada pertumbuhan ekonomi.
- KWSP menyokong kenaikan gaji kehidupan wajar bagi GLIC dan komited melaksanakannya sepenuhnya.
- Pendaftaran automatik warganegara sebagai ahli KWSP pada usia 18 tahun memperluas akses kepada simpanan persaraan.
- Program i-Saraan Plus diteruskan dengan padanan kerajaan; KWSP galakkan i-Emas dan pilihan bayaran bulanan bagi Pengeluaran Umur 55 dan 60.
KWSP menyifatkan, kenaikan itu mampu meningkatkan kesejahteraan pekerja sekali gus menjamin kecukupan simpanan persaraan rakyat.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn dalam kenyataan memaklumkan, kenaikan itu merupakan reformasi penting pasaran tenaga kerja bagi memastikan mereka menerima bahagian yang lebih adil daripada pertumbuhan ekonomi negara.
“Langkah itu mampu meningkatkan simpanan persaraan ahli KWSP selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI dalam usaha membina ekonomi yang lebih makmur, inklusif dan berpaksikan rakyat.
”KWSP turut menyokong inisiatif menaikkan kadar gaji kehidupan wajar bagi Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) kepada RM3,400 sebulan dan komited melaksanakannya sepenuhnya,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Belanjawan 2027 dilihat memperluas akses kepada simpanan persaraan apabila memperkenalkan pendaftaran automatik warganegara sebagai ahli KWSP setelah mencapai usia 18 tahun.
“Program i-Saraan Plus bagi pemandu e-hailing dan p-hailing juga diteruskan, dengan insentif padanan kerajaan sebanyak 20 peratus bagi mereka yang layak, tertakluk kepada had maksimum RM600 setahun dan RM6,000 sepanjang hayat sehingga mencapai umur persaraan minimum negara,” tambah kenyataan itu.
Selain itu, KWSP turut menggalakkan ahli memanfaatkan kemudahan i-Emas bagi memperkukuh pendapatan selepas persaraan.
Inisiatif itu membolehkan bayaran bulanan dibuat bagi Pengeluaran Umur 55 dan 60 Tahun yang turut menjadi alternatif kepada pengeluaran secara penuh.
Pendekatan itu juga membolehkan baki simpanan yang kekal dalam KWSP terus menerima dividen tahunan, sekali gus memastikan simpanan dapat bertahan lebih lama.