RM200 juta pembiayaan mudah kepada pekebun kecil

Pembayaran balik ditangguh selama empat tahun sementara menunggu pokok sawit berbuah

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kemudahan pembiayaan mudah bernilai RM200 juta disediakan kepada pekebun kecil bagi membiayai kos penanaman semula kelapa sawit dengan keluasan kawasan sehingga 40 hektar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembayaran balik ditangguh empat tahun; pekebun hanya menanggung faedah dua peratus sementara kerajaan menanggung baki faedah.
  • Kadar Insentif Pengeluaran Getah dinaikkan kepada RM3.30 sekilogram, memberi manfaat kepada lebih 300,000 pekebun kecil.
  • Kerajaan luluskan RM1.26 bilion untuk memperkukuh kewangan FELDA, penyelenggaraan jalan dan perumahan, sambil meningkatkan pemilikan tanah serta pendapatan peneroka.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat berkata, pembayaran balik ditangguh selama empat tahun sementara menunggu pokok sawit berbuah.

“Pekebun terlibat hanya menanggung faedah sebanyak dua peratus dan baki faedah ditanggung oleh kerajaan.

“Bagi pekebun kecil getah pula, kerajaan bersetuju menaikkan kadar insentif pengeluaran getah (IPG) untuk kali ketiga.

“Kadar IPG ditingkatkan kepada RM3.30 sekilogram yang bakal memberi manfaat kepada lebih 300,000 pekebun kecil,”katanya.

Kadar IPG, pada masa ini pada RM3.00 sekilogram, manakala 2022 sebanyak RM2.50 sekilogram.

Setakat September lalu, seramai 290,000 pekebun kecil menerima sebanyak RM400 sebulan sebagai bantuan subsidi yang merangkumi petani, penternak, pengusaha kecil sawit, getah, koko, lada dan kenaf.

Dalam pada itu, kerajaan meluluskan sejumlah RM1.26 bilion bagi 2027 untuk menjamin pengukuhan kewangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), penyelenggaraan jalan serta perumahan generasi FELDA.

“109,000 peneroka kini memiliki tanah selain purata pendapatan bersih meningkat daripada RM2,272 (2023) kepada RM3,800 pada 2026.

“Penyahsenaraian FGV Holding Bhd pula memperkukuh kewangan FELDA demi menjaga kebajikan peneroka,” kata beliau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.