
TASHKENT, 5 Oktober – Kebolehpasaran graduan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) semakin meluas apabila mereka mendapat penempatan dalam pelbagai sektor pekerjaan, dengan sektor swasta menjadi penyerap utama sebanyak 49 peratus.
- Penerimaan dan kepercayaan majikan terhadap kompetensi graduan UniSIRAJ membuktikan kualiti pendidikan universiti.
- Peluang kerjaya graduan kini lebih luas dan tidak lagi tertumpu hanya kepada sektor kerajaan.
- Penyertaan dalam ekonomi gig, pekerjaan digital dan kerja bebas mencerminkan keterbukaan kepada model pekerjaan baharu.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sektor kerajaan atau awam menyerap 19 peratus graduan, diikuti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebanyak 17 peratus serta ekonomi gig, pekerjaan digital dan pekerjaan bebas sebanyak 15 peratus.
Menurut baginda, penglibatan graduan yang tinggi dalam sektor swasta menunjukkan penerimaan serta kepercayaan majikan terhadap kompetensi graduan UniSIRAJ.
Baginda bertitah, keadaan itu turut memperlihatkan peluang kerjaya graduan kini lebih luas dan tidak hanya tertumpu kepada sektor kerajaan.
Dalam pada itu, penyertaan dalam ekonomi gig, pekerjaan digital dan pekerjaan bebas menunjukkan keterbukaan graduan terhadap model pekerjaan baharu serta laluan kerjaya alternatif yang berkembang seiring dengan ekonomi digital.
Baginda bertitah demikian selepas menyempurnakan pelancaran Promosi Masakan Perlis di Bosphorus Family Restaurant, Qorasaroy Street, Almazar District, di sini.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri kedua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut pengasas dan pemilik Bosphorus Family Restaurant Group di Tashkent, Sanjarbek Abdurakhmonov.