
SEPANG, 4 Oktober- Dua juara dunia Formula 1 (F1), Max Verstappen dan Lewis Hamilton kembali berkongsi barisan hadapan apabila masing-masing akan memulakan perlumbaan F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix (GP) di Malaysia 2026 dari petak pertama dan kedua di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, hari ini
- Verstappen raih petak utama dengan 1:35.130; Hamilton kedua 1:35.428, ketinggalan 0.298 saat.
- Pertarungan lama antara Verstappen dan Hamilton kembali hangat walaupun kini bersama pasukan berbeza.
- Cuaca panas, brek dan degradasi tayar dijangka jadi cabaran utama kepada semua pasukan.
- Kimi Antonelli mulakan dari petak ketiga selepas penalti terhadap Isack Hadjar, berpotensi cabar barisan hadapan.
Verstappen meraih petak utama selepas muncul pelumba terpantas dalam ketiga-tiga segmen kelayakan dengan catatan 1 minit 35.130 saat, manakala Hamilton mengisi petak kedua dengan masa 1 minit 35.428 saat, ketinggalan 0.298 saat.
Kedudukan itu menghidupkan kembali persaingan antara dua juara dunia yang pernah mendominasi saingan F1, khususnya ketika Hamilton bersama Mercedes dan Verstappen bersama Red Bull Racing.
Kali terakhir F1 berlangsung di Sepang pada 2017, Verstappen muncul pemenang, manakala Hamilton ketika itu menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
Verstappen mengakui perlumbaan kali ini bukan mudah dengan faktor cuaca panas, brek dan degradasi tayar dijangka memberi cabaran kepada semua pasukan.
Hamilton pula berkata kedudukan di barisan hadapan di luar jangkaan Ferrari berdasarkan prestasi sepanjang hujung minggu perlumbaan.
Beliau berkata Ferrari masih kehilangan sekitar tiga hingga empat persepuluh saat di laluan lurus berbanding Red Bull, namun keupayaan memaksimumkan prestasi di selekoh membantu beliau meraih petak kedua.
Sementara itu, pelumba Mercedes, Kimi Antonelli akan memulakan perlumbaan dari petak ketiga selepas penalti lima petak yang dikenakan terhadap Isack Hadjar (Red Bull Racing) mengubah susunan grid.
Antonelli hadir dengan momentum positif selepas muncul pelumba terpantas pada sesi latihan bebas ketiga dengan catatan 1 mini 36:302 saat, hampir tiga persepuluh saat mengatasi Verstappen.
Kedudukan Antonelli di petak ketiga turut membuka peluang buat Mercedes mencabar dua juara dunia di barisan hadapan, sekali gus menambah persaingan pada perlumbaan petang ini.
Verstappen dan Hamilton kini bersama pasukan berbeza berbanding ketika persaingan sengit mereka sebelum ini, namun pertemuan di barisan hadapan Sepang dijangka menjadi antara tumpuan utama perlumbaan hari ini.