
KUALA LUMPUR, 29 September – Dua beradik cedera selepas sebuah rumah di Taman Sri Bintang, Kepong, diceroboh seorang lelaki dalam kejadian awal pagi tadi.
- Suspek bukan warganegara ditangkap di dalam bilik memegang pisau; pisau dirampas.
- Kedua-dua mangsa dan suspek mengalami kecederaan tikaman dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.
- Suspek dipercayai cemburu kerana mangsa kembali berhubung dengan bekas teman lelaki.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 326 dan 435; polis minta orang ramai hubungi IPD Sentul di 03-4048 2222.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Anuar Bakri Abdul Salam berkata, pihaknya menerima panggilan MERS999 pada pukul 5.04 pagi memaklumkan kejadian di sebuah rumah di Jalan 44/38A, Taman Sri Bintang.
Menurut beliau, polis yang tiba di lokasi mendapati terdapat kesan terbakar di bahagian luar rumah, manakala kedua-dua mangsa bersembunyi di dalam tandas bilik di tingkat bawah.
“Polis kemudian naik ke tingkat atas dan mendapati suspek, seorang bukan warganegara Malaysia, berada di dalam bilik sambil memegang sebilah pisau.
“Suspek berjaya ditangkap dan pisau yang digunakan turut dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua mangsa dan suspek mengalami kecederaan akibat tikaman sebelum mereka dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai cemburu terhadap salah seorang mangsa yang kembali berhubung dengan bekas teman lelakinya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Polis Kuala Lumpur turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-4048 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.