Lima maut, lebih 20 cedera dalam serangan Rusia-Ukraine

Foto AFP

ISTANBUL/MOSCOW, 26 September – Serangan udara Rusia dan Ukraine pada malam Sabtu mengorbankan lima orang dan mencederakan lebih 20 yang lain, lapor Anadolu Ajansi (AA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertahanan udara menembak jatuh lebih 30 dron di beberapa bandar wilayah Rostov, termasuk Rostov-on-Don serta daerah Azovsky dan Neklinovsky.
  • Dron jatuh merosakkan pangsapuri, rumah persendirian, kemudahan perindustrian, sebuah sekolah, pusat kebudayaan dan kenderaan di bandar Azov.
  • Wilayah Krasnodar melaporkan kebakaran di kemudahan perindustrian, kerosakan bangunan kediaman, kira-kira 26,000 terputus bekalan elektrik dan beberapa kematian.
  • Kementerian Pertahanan Rusia dakwa menembak jatuh 645 dron Ukraine, serta serangan mengenai pusat data Kyiv, pelabuhan Odesa dan kapal kargo.

“Lima orang cedera dalam serangan dron musuh pada waktu malam. Mangsa termasuk seorang di Taganrog dan empat di Azov antaranya seorang kanak-kanak selepas dron mengenai bangunan kediaman,” kata Gabenor wilayah Rostov di selatan Rusia, Yury Slyusar menerusi Telegram.

Slyusar berkata kesemua mangsa yang cedera dimasukkan ke hospital. Beliau mendakwa lebih 30 dron ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara di beberapa bandar di wilayah itu, termasuk Rostov-on-Don, serta daerah Azovsky, Myasnikovsky dan Neklinovsky.

Di bandar Azov, dron yang jatuh merosakkan bangunan pangsapuri, rumah persendirian, kemudahan perindustrian, sebuah sekolah, pusat kebudayaan dan kenderaan, menurut Slyusar.

Gabenor wilayah Krasnodar yang bersempadan, Veniamin Kondratyev berkata serangan dron di daerah Seversky merosakkan sebuah bangunan kediaman dan menyebabkan kebakaran di dua kemudahan perindustrian di kawasan itu.

Ibu pejabat operasi wilayah Krasnodar kemudian melaporkan tiga orang terbunuh dan dua lagi cedera di wilayah itu, sambil memaklumkan kebakaran di kemudahan perindustrian berkenaan telah dipadamkan dan kira-kira 26,000 penduduk kini terputus bekalan elektrik.

Staf Am Ukraine mendakwa pihaknya melancarkan serangan pada waktu malam ke atas loji penapisan minyak Ilsky yang terletak di daerah Seversky.

Kementerian Pertahanan Rusia mendakwa pihaknya menembak jatuh 645 dron Ukraine di 13 wilayah serta di Laut Hitam, Laut Azov dan Crimea, yang diilhakkan oleh Moscow pada 2014.

Kementerian itu turut mendakwa serangan Rusia pada waktu malam di Ukraine mengenai sebuah pusat data di ibu negara Kyiv yang “memudahkan operasi Internet mudah alih dan menyokong sistem komunikasi satelit Starlink untuk Angkatan Tentera Ukraine.”

Ia turut mendakwa serangan mengenai sebuah kemudahan pelabuhan, jambatan jalan raya dan pusat logistik di wilayah Odesa di selatan Ukraine, serta sebuah kapal kargo kering yang “membawa bekalan ketenteraan” di Laut Hitam.

Di ibu negara Ukraine, Pentadbiran Tentera Bandar Kiev memaklumkan, sebuah dron mengenai kawasan di antara bangunan kediaman lima tingkat dan sebuah premis komersial di daerah Solomianskyi, dengan sebuah bangunan pejabat turut mengalami kerosakan.

Datuk Bandar Kiev Vitali Klitschko berkata lima orang cedera, sambil memaklumkan operasi mencari dan menyelamat di kawasan itu masih diteruskan.

Beliau kemudian berkata kebakaran berlaku berhampiran bangunan gudang di daerah Darnytskyi, manakala satu lagi kebakaran tercetus di sebuah kedai selepas sebuah dron jatuh di kawasan pusat beli-belah di daerah Sviatoshynskyi.

Di wilayah Kiev, dua orang cedera di daerah Boryspil apabila kebakaran tercetus di sebuah bangunan gudang, menurut Perkhidmatan Kecemasan Negara Ukraine.

Moscow dan Kiev meningkatkan serangan sejak beberapa bulan kebelakangan ini dengan menyasarkan pusat logistik, pelabuhan dan infrastruktur tenaga masing-masing.

Kedua-dua pihak menafikan sengaja menyasarkan infrastruktur awam, dengan menegaskan serangan ditujukan terhadap sasaran ketenteraan atau kemudahan yang berkaitan dengan aktiviti ketenteraan.
– BERNAMA-ANADOLU

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.