
PHILADELPHIA, 20 September – Sekumpulan penunjuk perasaan melaungkan slogan pro-Palestin ketika menyambut peminat yang hadir ke konsert bintang pop, Ed Sheeran, di Philadelphia pada Sabtu, susulan kontroversi membabitkan persembahan pembuka, Macklemore.
- Macklemore digugurkan selepas pemilik stadium membantah tindakannya melaungkan "Free Palestine".
- Sheeran menafikan penglibatan dalam keputusan menyingkirkan Macklemore, menyalahkan penganjur jelajah.
- Beberapa artis sokongan menarik diri dan menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin; PACBI menyeru boikot jelajah Sheeran seluruhnya.
- Protes pro-Palestin berhimpun di luar Lincoln Financial Field, berkibarnya bendera Palestin dengan pemantauan polis.
Ia merupakan persembahan pertama Sheeran sejak jelajahnya dilanda kontroversi selepas rapper berkenaan disingkirkan daripada Jelajah US Loop pada Isnin.
Macklemore digugurkan selepas pemilik stadium yang bakal menjadi lokasi persembahan membantah tindakannya melaungkan “Free Palestine” ketika membuat persembahan di New Jersey awal bulan ini.
Sheeran, 35, menafikan beliau terbabit dalam keputusan menyingkirkan Macklemore, sebaliknya menyalahkan penganjur jelajah.
Empat artis sokongan kemudiannya menarik diri daripada jelajah berkenaan dan mengeluarkan kenyataan terbuka yang menyatakan sokongan mereka terhadap rakyat Palestin.
Sheeran turut dikritik kerana didakwa gagal bersuara menentang tindakan pemilik stadium, yang diketuai ahli perniagaan bilionair, Robert Kraft, selain berdepan seruan memboikot persembahannya.
Puluhan penunjuk perasaan pro-Palestin berhimpun di luar Lincoln Financial Field, lokasi Sheeran dijadual mengadakan persembahan pada malam Sabtu.
Mereka mengibarkan bendera Palestin sambil melaungkan slogan “Free, free Palestine”.
Kira-kira lebih 10 kenderaan polis ditempatkan berhampiran lokasi bagi memantau perhimpunan yang berlangsung secara aman itu.
Sebahagian peminat yang memasuki stadium berkata mereka pada mulanya teragak-agak untuk hadir susulan kontroversi berkenaan, namun akhirnya memutuskan untuk tetap menghadiri konsert dan menikmati persembahan.
Namun, ada yang mengambil keputusan sebaliknya. Pelajar Universiti Brown berusia 18 tahun, Brandon Ateke, menuduh Sheeran bersubahat dengan Kraft dan pihak lain dalam usaha menyenyapkan Macklemore.
“Saya memutuskan untuk tidak menghadiri konsert itu dan sebaliknya menyertai protes bagi menarik perhatian terhadap pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Gaza hari ini,” katanya.
Ketika semakin ramai artis menyuarakan pendirian berhubung konflik di Gaza serta keganasan Israel di Tebing Barat, Sheeran kekal dengan pendirian untuk tidak terlibat dalam isu politik secara terbuka.
“Saya mempunyai pandangan peribadi mengenai konflik yang menyedihkan ini. Hanya kerana saya memilih untuk tidak bercakap secara terbuka, tidak bermakna saya tidak mempunyai pandangan mengenainya,” kata penyanyi Britain itu menerusi Instagram pada Selasa.
Bagaimanapun, beliau berkata, “mereka yang hadir ke persembahan saya tidak mengharapkan ia menjadi forum politik.”
Pada Sabtu, kumpulan pro-Palestin turut menggesa artis, peminat dan anggota kru supaya tidak menghadiri konsert Sheeran.
“Kini kami meluaskan seruan untuk memboikot seluruh jelajah dunia Ed Sheeran, termasuk persembahan akan datang di Amerika Latin serta siri persembahan di Eropah yang masih belum diumumkan,” kata Palestinian Campaign for the Academic and Cultural Boycott of Israel (PACBI).
Tiada artis pembuka atau kumpulan muzik sokongan baharu diumumkan dan tidak diketahui bagaimana Sheeran akan menjayakan persembahannya pada Sabtu.
Antara artis sokongan yang menarik diri daripada jelajah itu ialah kumpulan muzik pengiring Sheeran serta Finneas, yang mencipta nama menerusi kerjasama dengan adiknya, bintang pop Billie Eilish.
Sejak Israel melancarkan serangan ke atas Gaza pada Oktober 2023, isu korban rakyat Palestin dan hak rakyat Palestin semakin menjadi seruan dalam industri hiburan.
Daripada Anugerah Oscar dan Emmy hingga majlis anugerah muzik utama serta festival filem Eropah, perang di Gaza kerap menjadi antara isu yang diketengahkan.
Serangan besar-besaran Israel di Gaza telah mengorbankan lebih 73,800 orang, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang berada di bawah pentadbiran Hamas dan angka itu dianggap boleh dipercayai Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Pada Sabtu, pihak berkuasa Gaza memaklumkan serangan terbaru Israel mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.- AFP