
TEHRAN, 18 September – Pengawal Revolusi Iran memaklumkan telah menyerang dan menahan kapal tangki minyak Trend yang berlayar di Selat Hormuz, lapor agensi berita rasmi IRNA.
- UKMTO melaporkan insiden keselamatan kira-kira 16 batu nautika di timur laut Khasab, Oman.
- UKMTO tidak mendedahkan identiti kapal dan tidak pasti sama ada ia kapal yang didakwa Iran.
- Tehran mengenakan sekatan terhadap laluan strategik ini sejak serangan Amerika Syarikat dan Israel pada akhir Februari.
- Iran mahu mengenakan bayaran tol bagi kapal serta menyerang kapal yang melintasi tanpa persetujuan Tehran.
Menurut kenyataan Pengawal Revolusi Iran, kapal berkenaan ditahan selepas berlaku kebakaran ketika cuba melalui Selat Hormuz itu tanpa kebenaran.
“Kapal tangki minyak ‘Trend’ yang berdaftar di bawah bendera Togo telah disasarkan dan ditahan selepas kebakaran berlaku di atas kapal,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, United Kingdom Maritime Trade Operations (UKMTO) melaporkan satu insiden membabitkan keselamatan kapal kira-kira 16 batu nautika (29.6 kilometer) di timur laut Khasab, Oman.
Bagaimanapun, UKMTO tidak mendedahkan identiti kapal terbabit dan masih belum dapat dipastikan sama ada ia merupakan kapal yang sama seperti didakwa Iran.
Tehran telah mengenakan sekatan terhadap laluan strategik itu sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada akhir Februari.
Iran juga mahu mengenakan bayaran tol bagi kapal yang melalui selat berkenaan, selain menyerang kapal yang didakwa cuba menggunakan laluan yang tidak mendapat persetujuan Tehran.-AFP