Sektor swasta perlu teroka potensi pembangunan semula kawasan bandar

Datuk Seri Johari Abdul Ghani/ RTM

KUALA LUMPUR, 18 September- Sektor swasta perlu diberi ruang meneroka potensi kawasan bandar melalui pelaburan berkualiti bagi menghidupkan semula kawasan yang mempunyai nilai sejarah dan ekonomi, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaburan domestik menjana aktiviti ekonomi, peluang pekerjaan dan meningkatkan nilai aset sedia ada.
  • Kerajaan akan memastikan persekitaran dan infrastruktur menyokong usaha sektor swasta meneroka potensi bandar.
  • MITI menggalakkan pembangunan semula hotel dan pemulihan aset, sambil dorong syarikat Bumiputera berkembang berasaskan merit.

Beliau berkata pelaburan domestik bukan sahaja mewujudkan aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan, malah berupaya meningkatkan nilai aset sedia ada.

Katanya, perkara itu dapat dilihat menerusi pembangunan semula Brisdale International Hotel Kuala Lumpur hasil pelaburan domestik oleh syarikat tempatan.

“Saya sangat mengalu-alukan usaha membangunkan semula hotel-hotel lama yang sudah uzur dan memerlukan pembaharuan. Usaha ini dapat menarik kembali pengunjung, sekali gus membantu merancakkan ekonomi negara,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Brisdale International Hotel Kuala Lumpur di sini malam tadi.

Datuk Seri Johari berkata kerajaan pula akan memastikan persekitaran serta infrastruktur yang menyokong usaha sektor swasta dalam meneroka potensi kawasan bandar.

Beliau berkata MITI turut memberi perhatian serius terhadap pelaburan domestik dan mahu melihat syarikat Bumiputera berkembang secara berdaya saing berdasarkan kekuatan serta merit masing-masing.

Beliau turut menyeru lebih ramai pelabur dan pemaju melihat potensi kawasan bandar yang mempunyai lokasi strategik, akses pengangkutan serta aset sedia ada yang boleh dipulihkan bagi merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.