
ALOR SETAR, 16 September – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menahan seorang pemandu lori yang disyaki positif dadah jenis methamphetamine dalam satu operasi khas bersepadu dadah terhadap kenderaan perdagangan berhampiran Plaza Tol Jitra pada Selasa.
- Operasi menumpukan pemeriksaan dan saringan terhadap pemandu kenderaan perdagangan.
- JPJ menasihatkan pemandu agar tidak menggunakan dadah untuk tingkatkan daya tahan; rehat mencukupi disyorkan.
- Sejak 1 Julai, enam pemandu kenderaan perdagangan didapati positif dadah di seluruh Kedah.
- JPJ boleh menahan CDL dan menggantung Lesen Vokasional hingga tiga bulan; majikan digesa semak rekod pemandu dengan AADK.
Pengarah JPJ negeri, Stien Van Lutam berkata, lelaki berusia 43 tahun itu dipercayai mengambil bahan terlarang tersebut bagi meningkatkan data ketahanan badan ketika memandu berikutan pemanduan jarak jauh dan berulang.
Katanya, ketika ditahan, suspek dalam perjalanan dari Perlis ke Perak bagi menghantar barangan syarikatnya.
Suspek merupakan antara 30 individu yang menjalani saringan dalam operasi berkenaan.
“Jadi, kita berharap agar pemandu, khususnya mereka yang memandu dalam jarak jauh, tidak menggunakan alasan untuk mengambil dadah bagi meningkatkan daya tahan, mengurangkan rasa mengantuk atau sebaginya.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Terdapat pelbagai kaedah yang lebih selamat untuk mengelakkan rasa mengantuk ketika memandu, antaranya mendapatkan rehat dan tidur yang mencukupi sebelum meneruskan perjalanan,” katanya dalam sidang media yang turut melibatkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM serta PLUS Malaysia Berhad.
Suspek kemudiannya diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, sejak Operasi Khas itu dilaksanakan pada 1 Julai lalu, seramai enam pemandu kenderaan perdagangan ditahan kerana didapati positi dadah di seluruh Kedah.
Jelasnya, operasi berkenaan dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada pemeriksaan dan saringan terhadap pemandu kenderaan perdagangan, khususnya bagi mengesan sebarang unsur penyalahgunaan dadah serta kesalahan lain yang boleh menjejaskan keselamatan jalan raya.
“Apabila seseorang itu boleh membahayakan keselamatan orang lain, kita perlu mengambil tindakan. Tindakan ini diambil bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak, tetapi bagi memastikan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku. Itu adalah tujuan utama kita.
Jadi, kita mengambil tindakan lebih awal bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin. Oleh itu, sebelum perkara yang tidak diingini berlaku, kita mengambil langkah pencegahan dengan menahan mereka di sini terlebih dahulu,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa pihak majikan supaya menyemak rekod pemandu dengan AADK bagi mengelakkan risiko mengambil pemandu yang mempunyai rekod bawah pengaruh dadah.
Menurutnya, sekiranya seseorang pemandu didapati positif dalam saringan dadah dan telah diambil tindakan oleh AADK, tindakan pentadbiran oleh JPJ juga akan dilaksanakan mengikut peruntukan yang sedang berkuat kuasa sekiranya didapati bersalah.
Antara tindakan yang boleh diambil ialah menahan Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Vokasional sehingga siasatan serta tindakan oleh AADK selesai.
Selain itu, Lesen Vokasional juga boleh digantung selama tiga bulan, tertakluk kepada peruntukan dan ketetapan yang sedang berkuat kuasa.