
GENEVA, 15 September — Lebih 100,000 penduduk Yaman terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing susulan peningkatan semula konflik di negara itu, manakala ribuan lagi melarikan diri melalui laut ke Djibouti.
- UNHCR amat bimbang peningkatan pertempuran di pantai barat Yaman menyebabkan perpindahan dan kehilangan tempat tinggal secara besar-besaran.
- Kira-kira 2,400 orang mencari perlindungan merentasi Selat Bab el-Mandeb menuju Djibouti.
- Kumpulan Houthi meningkatkan serangan terhadap bandar dan infrastruktur tenaga Arab Saudi, diikuti serangan balas tentera udara Saudi dan Yaman.
Jurucakap Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHCR), Eujin Byun berkata, pihaknya amat bimbang dengan peningkatan drastik pertempuran di sepanjang pantai barat Yaman yang menyebabkan hampir 100,000 orang kehilangan tempat tinggal.
“Keganasan memaksa lebih 2,400 orang mencari perlindungan merentasi Selat Bab el-Mandeb menuju Djibouti,” katanya kepada pemberita di Geneva.
Konflik kembali memuncak apabila kumpulan Houthi yang disokong Iran meningkatkan serangan terhadap bandar dan infrastruktur tenaga Arab Saudi, selain mara di sepanjang pantai Laut Merah menuju Selat Bab el-Mandeb.
Sebagai tindak balas, tentera udara Arab Saudi dan Yaman melancarkan serangan terhadap sasaran kumpulan Houthi.
Perkembangan itu meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan orang awam yang terperangkap dalam konflik, selain mencetuskan perpindahan penduduk secara besar-besaran. – REUTERS