
MANJUNG, 15 September – Sebanyak 35,516 barang kes bernilai lebih RM2.95 juta dilupuskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung.
- Pelupusan melibatkan 173 kertas siasatan sejak 2019 hingga 2026 bagi jenayah bitcoin, kontraban dan perjudian.
- Perincian kes: 125 kes perjudian, 38 kes bitcoin dan 10 kes berkaitan rokok serta minuman keras.
- 1,144 peralatan bitcoin dilupuskan melalui pengurusan sisa elektrik dan elektronik.
- 33,511 karton rokok, 323 botol dan 48 tin minuman keras dilupuskan menggunakan jengkaut dan kaedah pembakaran.
Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Mohammad Azlin Sadari berkata pelupusan itu melibatkan 173 kertas siasatan bagi kes jenayah berkaitan bitcoin, kontraban dan perjudian sejak tahun 2019 hingga 2026.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 125 kertas siasatan membabitkan kes perjudian, 38 kes bitcoin, manakala 10 lagi berkaitan rokok dan minuman keras.
“Ia melibatkan barang kes judi kira-kira 490 barang kes yang melibatkan nilai RM99,538.00. Kedua barang yang melibatkan bitcoin kira-kira 1,144 peralatan-peralatan melibatkan siasatan bitcoin dan ianya dianggarkan bernilai sekitar RM1.275 juta,
“Manakala, ketiga melibatkan barang kontraban rokok dan arak ianya melibatkan nilai sebanyak RM1.575”, katanya pada sidang media selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Bitcoin, Kontraban dan Judi Peringkat IPD Manjung di sini hari ini.
Sementara itu, sebanyak 1,144 barang kes bitcoin bernilai lebih RM1.27 juta dilupuskan melalui kaedah pengurusan sisa elektrik dan elektronik (E-waste). Manakala 33,511 karton rokok pelbagai jenama, 323 botol dan 48 tin minuman keras bernilai lebih RM1.57 juta turut dilupuskan menggunakan jengkaut (excavator) dan kaedah pembakaran mengikut prosedur ditetapkan.
Pelaksanaan pelupusan bertujuan mengelakkan berlakunya lambakan barang kes di stor barang kes IPD Manjung disamping memastikan pengurusan barang kes dilaksanakan secara sistematik, selamat dan mematuhi undang-undang.