JMR naib juara Pro-Am Suzuka 1000 GT3

Foto JMR

KUALA LUMPUR, 14 September – Johor Motorsports Racing (JMR) meneruskan rentak cemerlang musim 2026 apabila muncul naib juara kelas Pro-Am pada perlumbaan ketahanan Suzuka 1000 GT3 di Litar Suzuka, Jepun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Barisan JMR: Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman, Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar dan pemandu profesional Ben Green.
  • Corvette Z06 GT3.R nombor 99 bermula tempat ketiga, jatuh ke kelima awal perlumbaan, kemudian kembali ke podium kelas.
  • Pasukan berjaya meminimumkan kesilapan dan mengekalkan kedudukan hingga tamat selepas menempuh 1,068 kilometer.
  • Pasukan Pro JMR dengan Scott McLaughlin, Nicky Catsburg dan Alexander Sims terlepas podium, tamat keempat keseluruhan kelas Pro.

JMR yang dibarisi oleh Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim dan pemandu profesional, Ben Green, menamatkan perlumbaan dalam masa enam setengah jam itu di tempat kedua kelas Pro-Am dan ke-12 keseluruhan.

Keputusan itu menyaksikan JMR memperbaiki pencapaian tahun lalu selepas menamatkan saingan di tempat ketiga, selain menduduki tempat ketiga dalam kategori Independent Cup.

Bermula di tempat ketiga kelas Pro-Am, jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R bernombor 99 itu turun ke tangga kelima pada peringkat awal sebelum kembali melonjak ke kedudukan kedua.

Kedudukan itu berjaya dikekalkan sehingga tamat perlumbaan selepas berjaya meminimumkan kesilapan untuk melintasi garisan penamat selepas menempuh jarak 1,068 kilometer.

Tunku Abdul Rahman menyifatkan pencapaian tersebut sebagai hasil usaha seluruh pasukan, selain menganggap musim 2026 sebagai tahun yang cukup mencabar dan membanggakan.

“ Saya amat berbangga dengan semua yang terlibat dalam merealisasikan kejayaan ini sepanjang 2026. Ia merupakan tahun yang hebat buat kami, dengan pelbagai cabaran baharu dan perlumbaan yang sengit.

“Kami membuktikan bahawa kami mampu memberikan segala-galanya tanpa mengira keadaan” ujarnya.

Dalam pada itu, Tunku Abu Bakar pula menyifatkan peningkatan daripada tempat ketiga kepada naib juara sebagai pencapaian membanggakan buat JMR pada ulang tahun ke-50 perlumbaan Suzuka 1000.

“Tahun lalu kami menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dan kali ini berjaya menduduki tempat kedua.

“Ia satu pencapaian yang menakjubkan buat pasukan.Kami berharap dapat kembali lagi tahun depan dan melihat sejauh mana kami mampu pergi”, jelasnya.

Sementara itu, pasukan Pro JMR yang dibarisi Scott McLaughlin, Nicky Catsburg dan Alexander Sims terlepas peluang untuk menaiki podium dan terpaksa menamatkan perlumbaan di tempat keempat keseluruhan kelas Pro.

Bermula di tempat kelapan, jentera bernombor dua itu berjaya melonjak ke kelompok tiga terbaik dan bersaing untuk podium sepanjang perlumbaan sebelum terlepas peluang untuk berada di kedudukan ketiga di akhir perlumbaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.