
PUTRAJAYA, 14 September – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terus memperkasa kompetensi Pengurus Sumber Manusia (PSM) bagi memastikan pengurusan sumber manusia sektor awam lebih tepat, seragam dan berakauntabiliti.
- Persidangan Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam 2026 menghimpunkan kira-kira 1,000 PSM untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik.
- Sesi Klinik Perkhidmatan Awam dengan 34 kaunter menyediakan konsultasi bersemuka dan nasihat pakar kepada PSM.
- Tiga anjakan strategik melibatkan pelaksanaan perkara diketahui, keutamaan pencegahan tuntas dan meruntuhkan budaya kerja silo melalui kolaborasi.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, usaha itu penting bagi memastikan PSM di kementerian, jabatan, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kefahaman serta keupayaan menangani isu perkhidmatan awam dengan lebih berkesan.
Katanya, Persidangan Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini, menjadi platform menghimpunkan kira-kira 1,000 PSM untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik.
Beliau berkata, perkongsian berkenaan penting bagi mengurangkan kesilapan pengurusan yang boleh memberi implikasi besar kepada perkhidmatan awam, selain memastikan hak dan kebajikan penjawat awam terus dipelihara.
“Apabila kita menganjurkan persidangan seperti ini dan menghimpunkan hampir seluruh pengurus sumber manusia, kita berharap kesilapan-kesilapan fatal yang boleh merugikan perkhidmatan awam dapat dikurangkan atau dielakkan terus,” katanya selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam Tahun 2026 di sini hari ini.
Menurut beliau, pengurusan sumber manusia sektor awam perlu terus diperkasa secara berkesan dan berorientasikan prestasi bagi memastikan dasar dipatuhi serta diterjemahkan melalui tindakan yang tepat dan memberi impak tinggi kepada rakyat serta organisasi.
Usaha itu turut diperkukuh menerusi Sesi Klinik Perkhidmatan Awam yang menyediakan konsultasi bersemuka melalui 34 kaunter membabitkan enam urusan dan tujuh bahagian di JPA.
Sesi berkenaan membolehkan PSM mendapatkan penjelasan serta khidmat nasihat secara langsung daripada pegawai JPA mengikut bidang kepakaran masing-masing.
Pendekatan khidmat rundingan itu turut diteruskan dengan 61 program dilaksanakan di peringkat kementerian dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK) sejak 2024.
Dalam pada itu, Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan menggariskan tiga anjakan strategik utama persidangan, iaitu melaksanakan perkara yang telah diketahui, mengutamakan pencegahan tuntas serta meruntuhkan budaya kerja secara silo melalui kolaborasi.
Dalam majlis sama, beliau turut melancarkan buku Institusi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Alaf Baharu yang mendokumentasikan pembaharuan strategik Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bagi tempoh 2000 hingga 2025.