
MIRI, 14 September – Mendiang Penolong Pegawai Perubatan Alexson Adit Henry Empurai, antara lima mangsa nahas helikopter di Long Lellang, Baram pada 8 September lepas, selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Anglican Lambir, hari ini.
- Upacara penghormatan terakhir di Gereja Good Shepherd Lutong dipimpin Vicar Father Pilu Gumba.
- Suasana pilu dihadiri isteri Stephanie Essah, dua anak, keluarga, saudara-mara, sahabat dan rakan sekerja.
- Pengerusi gereja Esther Mary berkata gereja akan terus memberi sokongan moral dan bantuan kewangan kepada keluarga.
- Rakan sekerja dari Pejabat Kesihatan Bahagian Miri memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.
Sebelum itu, upacara penghormatan terakhir mendiang berlangsung di Gereja Good Shepherd Lutong di sini, yang dikendalikan Vicar gereja berkenaan, Father Pilu Gumba.
Suasana pilu menyelubungi upacara berkenaan yang turut dihadiri isteri mendiang, Stephanie Essah, dua anak mangsa, ahli keluarga, saudara-mara, sahabat handai serta rakan sekerja dari Pejabat Kesihatan Bahagian Miri.
Pengerusi gereja, Esther Mary berkata keluarga Alexson sentiasa menghadiri upacara keagamaan di gereja itu setiap Ahad, justeru pihak gereja akan terus memberikan sokongan moral dan bantuan kepada keluarga mendiang.
“Biasanya di gereja kami, keluarga Alexson sentiasa datang setiap Ahad. Jadi, sokongan moral kami adalah dengan mendoakan mereka di rumah dan kami juga memberikan bantuan kewangan,” katanya kepada RTM.

Selesai upacara penghormatan terakhir, jasad mendiang dibawa ke Tanah Perkuburan Anglican Lambir untuk disemadikan.
Alexson merupakan antara lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter ketika melaksanakan penerbangan Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram pada petang Selasa, 8 September lalu.
Turut terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, Dr Ainul Baraah Kamaruddin serta dua jururawat terlatih, Debra Moset dan Jessie Paya Jok.