
PUTRAJAYA, 13 September – Golongan belia disaran terus memperkasa ilmu dan kemahiran yang dimiliki serta menggunakannya untuk memberi manfaat kepada masyarakat.
- Kongsi ilmunya dan manfaatkan latihan kepimpinan untuk mencerahkan masyarakat, rakan serta keluarga.
- Teruskan usaha meningkatkan pengetahuan dan kepimpinan sebagai persediaan menghadapi cabaran masa depan.
- Gunakan jaringan dan pengetahuan bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi membantu masyarakat sekeliling.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan berkata, pengetahuan dan latihan kepimpinan yang diterima tidak seharusnya terhenti sebagai pengetahuan peribadi, sebaliknya perlu dikongsi dan dimanfaatkan untuk memberi pencerahan kepada masyarakat.
Jelasnya, generasi muda juga perlu memainkan peranan meningkatkan keupayaan kepimpinan dalam komuniti masing-masing sebagai persediaan menghadapi cabaran masa depan.
“Latihan yang telah dilalui tidak boleh terhenti sekadar pada apa yang telah diperoleh pada hari ini, sebaliknya perlu diteruskan dengan usaha untuk meningkatkan pengetahuan.
“Jangan lupa, ilmu yang telah kita peroleh perlu dimanfaatkan dengan berkongsi dan menyebarkannya bagi memberikan pencerahan kepada masyarakat, rakan-rakan serta keluarga.
“Jadi, kita berharap anak-anak ini dapat menggunakan segala pengetahuan dan jaringan yang diperoleh bukan sahaja untuk meningkatkan keupayaan diri, tetapi juga membantu masyarakat di sekeliling mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Himpunan Pondok Kepimpinan 2026 (HIMPON’26) di Putrajaya.
HIMPON’26 menghimpunkan hampir 500 peserta dan merupakan kemuncak program Pondok Kepimpinan yang sebelum ini merekodkan lebih 1,400 penyertaan mahasiswa daripada lebih 30 institusi pengajian tinggi.
Bertemakan ‘Harapan Menuju Malaysia 100 Tahun’, program berkenaan turut mengajak generasi muda membina Malaysia yang ingin mereka warisi apabila negara mencapai usia 100 tahun kemerdekaan pada 2057.
Antara aspirasi yang diketengahkan termasuk pembentukan Malaysia yang makmur, berdaya saing, menawarkan peluang yang saksama serta kekal teguh sebagai sebuah masyarakat meskipun berdepan kepelbagaian.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atas peruntukan yang disalurkan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya pada masa sama sedang mengenal pasti sumber dana dan penaja lain bagi meneruskan program tersebut pada masa akan datang.