Undian tular palsu, laluan skuad badminton lelaki negara belum ditentukan

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 September – Sebarang gambaran mengenai laluan skuad badminton lelaki Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang berlegar di media sosial belum boleh dijadikan rujukan kerana undian acara berpasukan masih belum dijalankan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Undian rasmi acara berpasukan akan dijalankan pada 19 September semasa mesyuarat pengurus pasukan.
  • Senarai pilihan pasukan diterbitkan semalam, menyebabkan undian yang tular sebelum ini tiada asas rasmi.
  • Undian acara individu hanya akan dibuat selepas saingan berpasukan berakhir pada 24 September.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh berkata, undian rasmi hanya akan berlangsung pada 19 September, iaitu semasa mesyuarat pengurus pasukan sehari sebelum saingan bermula.

Katanya, perkara itu telah ditetapkan dalam buku panduan rasmi Sukan Asia, sekali gus menolak dakwaan bahawa undian acara berpasukan lelaki sudah dilakukan lebih awal.

“Ada dua acara, iaitu berpasukan dan individu. Untuk acara berpasukan, undian akan dibuat pada 19 haribulan ketika mesyuarat pengurus pasukan. Perkara ini memang sudah dinyatakan dalam buku panduan Sukan Asia,” katanya.

Menurut Datuk Kenny, senarai pilihan pasukan yang menjadi asas kepada undian itu sendiri hanya diterbitkan semalam, menyebabkan senarai undian yang tersebar sebelum ini tidak mempunyai asas rasmi.

Berdasarkan senarai pilihan rasmi, Malaysia berada di tangga keenam, manakala Indonesia, China, Taiwan dan Jepun mengisi empat kedudukan teratas.

India pula berada di tangga kelima, diikuti Korea Selatan di tempat ketujuh.

Undian bagi acara individu pula hanya akan dilakukan selepas saingan berpasukan berakhir pada 24 September.

Sehubungan itu, peminat badminton negara perlu menunggu sehingga 19 September untuk mengetahui siapa bakal menjadi lawan Malaysia dalam saingan berpasukan lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.