
MIRI, 11 September – Bedah siasat terhadap lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara di Long Lellang, Ulu Baram, selesai dijalankan, semalam.
- Proses bedah siasat selesai kira-kira pukul 7.30 malam.
- Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah kecederaan akibat kebakaran parah susulan nahas helikopter.
- Keputusan ujian DNA bagi mengenal pasti identiti mangsa masih ditunggu.
- Keputusan dijangka diperoleh lewat petang bergantung kepada analisis Jabatan Kimia, penting untuk pengesahan identiti dan penghantaran jenazah.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, proses bedah siasat selesai kira-kira pukul 7.30 malam.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah kecederaan akibat kebakaran parah atau ‘severe burn injury’ susulan nahas helikopter berkenaan.
“Sementara itu, keputusan ujian DNA bagi mengenal pasti identiti mangsa masih ditunggu.
“Keputusan berkenaan dijangka mungkin diperoleh lewat petang ini, bergantung kepada proses analisis oleh Jabatan Kimia,” katanya.
Keputusan DNA itu penting bagi proses pengesahan identiti sebelum urusan pengurusan dan penghantaran jenazah kepada keluarga dapat dilaksanakan.
Pada Selasa, helikopter yang membawa lima individu termasuk juruterbang, terhempas berdekatan ‘Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport’.
Mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, pembantu perubatan Alexson Adit Henry, serta dua jururawat, Debra Moset, dan Jessie Paya Jok.