
KUALA LUMPUR, 11 September – Pengekalan kos haji Muassasah bagi tahun keempat berturut-turut disifatkan sebagai pencapaian Tabung Haji (TH), meskipun kos barangan dan perkhidmatan terus meningkat di Malaysia serta Arab Saudi.
- Peningkatan kualiti perkhidmatan haji dan pemberian bantuan kewangan bersasar kepada jemaah terus dilaksanakan.
- Pelaksanaan 25 syor RCI: 76 peratus telah dilaksanakan, baki memerlukan pindaan Akta TH untuk tingkatkan operasi dan pelaburan.
- Pindaan Akta TH hampir selesai selepas libat urus; keyakinan masyarakat kukuh dengan jumlah pendeposit menghampiri 10 juta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pengekalan kos itu turut disertai peningkatan kualiti perkhidmatan kepada jemaah, selain bantuan kewangan secara bersasar yang terus diberikan.
Beliau berkata, penambahbaikan pengurusan haji akan dilaksanakan secara berterusan, termasuk tindakan susulan terhadap 25 syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH.
“RCI itu ada 25 syor ataupun cadangan daripada RCI, dan daripada 25 itu 76 peratus telah pun dilaksanakan, sekarang ini yang belum dilaksanakan adalah pindaan kepada Akta TH,” katanya.
Dr Zulkifli berkata demikian ketika ditemui RTM selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini.
Jelasnya, pelaksanaan syor RCI bukan sekadar memenuhi cadanganpenambahbaikan, sebaliknya bertujuan membawa TH ke tahap lebih tinggi daripada sudut operasi haji dan pelaburan.
“Kita bukan hanya memikirkan melaksanakan syor itu tetapi kita ingin membawa TH ke satu tahap yang baru dari sudut operasi haji mahupun daripada sudut pelaburannya,” katanya lagi.
TH berupaya terus menjadi institusi terbaik dunia sekiranya pengurusannya diserahkan kepada pihak yang mempunyai kepakaran dan amanah.
Sementara itu, Dr Zulkifli berkata pindaan Akta TH kini hampir selesai selepas melalui proses libat urus dan dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat.
Tambah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu, keyakinan masyarakat terhadap TH masih kukuh berdasarkan jumlah pendeposit yang kini menghampiri 10 juta orang.
Beliau berkata, peningkatan jumlah deposit serta pengiktirafan antarabangsa terhadap pengurusan haji TH turut membantu memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap institusi berkenaan.