
MIRI, 9 September- Siasatan berhubung nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang mengorbankan lima individu di Long Lellang, Ulu Baram akan dijalankan Bahagian Siasatan Kemalangan Udara, Kementerian Pengangkutan (MOT)
- Helikopter tidak dilengkapi pemancar isyarat kecemasan dan kotak hitam; tiada maklumat sama ada juruterbang membuat panggilan kecemasan.
- Polis menjalankan siasatan berkaitan kematian mangsa dan menyediakan laporan kematian.
- Lima mangsa dikenal pasti melalui barang peribadi, cebisan pakaian dan kedudukan tempat duduk; saksi lihat kepulan asap dan api sebelum terhempas.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata siasatan awal mendapati helikopter berkenaan tidak dilengkapi pemancar isyarat kecemasan (beacon transmitter) dan kotak hitam.
“Berdasarkan siasatan awal kita, helikopter ini tidak mempunyai beacon transmitter dan juga kotak hitam.
“Jadi, setakat ini kita tidak mempunyai maklumat sama ada terdapat panggilan kecemasan daripada juruterbang.
“Walau bagaimanapun, Bahagian Siasatan Kemalangan Udara, (MOT) akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan bagaimana helikopter itu boleh terhempas,” katanya.
Beliau berkata polis pula menjalankan siasatan berkaitan kematian mangsa dan menyediakan laporan kematian.
Mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.
Identiti kelima-lima mangsa dikenal pasti melalui pengecaman barangan peribadi yang berada pada jasad mangsa, cebisan pakaian serta kedudukan tempat duduk di dalam helikopter.
Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport).
Menurut CAAM, pihaknya menerima maklumat tentang kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada 3.58 petang dan helikopter tersebut sedang menjalankan operasi penerbangan FDS.
Datuk Mohamad Zainal berkata siasatan awal mendapati beberapa saksi telah melihat kepulan asap dan api pada helikopter berkenaan sebelum ia terhempas.
Helikopter buatan 1991 itu kali terakhir menjalani penyelenggaraan pada 24 Ogos lepas dan dibenarkan beroperasi selama 100 jam penerbangan selepas penyelenggaraan berkenaan.