
KEDAH, 5 September – Kerajaan memberi tumpuan khusus kepada golongan muda berusia 18 hingga 35 tahun dalam menangani empat cabaran utama membabitkan penyebaran fitnah di media sosial, jenayah rentas sempadan dan teknologi, gejala sosial serta penyalahgunaan dadah.
- JKOM menekankan tindakan proaktif menangkis penyebaran fitnah di media sosial dan memberikan penjelasan pantas terhadap isu tular.
- Kerjasama erat dengan MCMC dan PDRM untuk menangani maklumat palsu serta fitnah.
- Program libat urus komuniti diperluas ke kira-kira 12 kawasan Parlimen, memberi maklum balas terus kepada golongan muda.
- Peringatan supaya tidak memainkan sentimen perkauman dan menegaskan tindakan tegas terhadap punca ketidakharmonian.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, empat perkara berkenaan menjadi antara fokus dan keutamaan kerajaan bagi memastikan generasi muda terus berada pada landasan yang betul, sekali gus menyokong usaha negara mencapai status negara maju.
Menurutnya, penyebaran fitnah menerusi media sosial kini berada pada tahap serius dan memerlukan tindakan proaktif kerajaan serta agensi penguat kuasa.
“Fitnah dengan kritikan adalah dua perkara berbeza. Kritikan tidak menjadi masalah, tetapi fitnah yang menggunakan maklumat salah untuk memfitnah kerajaan tidak seharusnya berlaku.
“Mana-mana kerajaan atau individu juga tidak sepatutnya difitnah kerana ia dilarang agama dan bertentangan dengan undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Komuniti Rakyat Madani (PKRM) Zon Utara di Padang Awam, Taman Bayam, di sini.
Mohd Hisyamuddin berkata, JKOM akan terus mempergiat usaha memberikan penjelasan pantas terhadap isu kritikal yang tular, selain bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani penyebaran maklumat palsu dan fitnah.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata program libat urus bersama masyarakat khususnya golongan muda akan diperluas ke beberapa kawasan Parlimen di seluruh negara.
Katanya, JKOM menyasarkan kira-kira 12 kawasan Parlimen bagi pelaksanaan program berkenaan, termasuk Padang Serai.
“Pendekatan berskala komuniti ini memberi peluang kepada golongan muda mendapatkan penjelasan secara terus daripada agensi kerajaan berhubung isu yang dibangkitkan.
“Sambutan golongan muda amat menggalakkan dan mereka menunjukkan minat serta berpuas hati apabila agensi kerajaan turun padang memberikan maklum balas secara langsung,” katanya.
Beliau berkata program berkenaan kini memasuki penganjuran kali keempat dan akan diteruskan dengan penglibatan masyarakat yang lebih meluas.
Sementara itu, Mohd Hisyamuddin mengingatkan semua pihak supaya tidak memainkan sentimen perkauman terutama menjelang pilihan raya.
Katanya, Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa, justeru keharmonian serta sikap saling menghormati perlu sentiasa dipelihara.
Beliau turut menegaskan sebarang usaha mencetuskan ketidakharmonian antara kaum tidak seharusnya dibiarkan, sebaliknya tindakan tegas perlu diambil mengikut peruntukan undang-undang.