Kerajaan Nepal beri kelulusan, SMART ke Kathmandu 5 Sept

Pasukan  Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) / Foto fail BERNAMA

PUTRAJAYA, 4 Sept – Malaysia akan menghantar Pasukan  Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Nepal seawal 5 Sept ini, susulan kelulusan rasmi daripada Kerajaan Nepal bagi membantu operasi mencari dan menyelamat di kawasan terjejas akibat banjir dan tanah runtuh baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan 11 anggota dilengkapi dron berkeupayaan tinggi dan peralatan khusus untuk menyokong operasi yang diketuai pihak berkuasa Nepal.
  • Pasukan sokongan KLN tiba di Kathmandu untuk membantu kedutaan menyelaras usaha mengesan rakyat Malaysia yang belum dapat dihubungi.
  • Usaha pengecaman melibatkan penggunaan sampel DNA; PDRM dan Jabatan Kimia Malaysia sediakan proses pengambilan dan analisis.
  • KLN menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan; maklumat rasmi disalurkan kepada keluarga terlebih dahulu.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan, pasukan 11 anggota itu akan dilengkapi dron berkeupayaan tinggi serta peralatan khusus bagi menyokong operasi yang diketuai pihak berkuasa Nepal di kawasan yang memerlukan kepakaran teknikal dan keupayaan operasi khas.

“Penghantaran pasukan itu tertakluk kepada keperluan operasi dan tahap keselamatan,” menurut kenyataan itu.

Pasukan sokongan tambahan KLN turut tiba di Kathmandu bagi membantu Kedutaan Besar Malaysia menyelaras usaha mencari dan mengenal pasti rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.

Usaha itu turut melibatkan penggunaan sampel DNA bagi membantu proses pengecaman.

Di Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kimia Malaysia juga membuat persediaan untuk mengambil serta menganalisis sampel DNA daripada waris terdekat.

KLN menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.

Dalam pada itu, pihak kementerian akan terus berhubung dengan waris terdekat dan menyalurkan perkembangan terkini mengenai usaha mencari serta mengenal pasti mereka.

“Maklumat setiap kes disampaikan terus kepada keluarga, manakala maklumat kepada orang ramai hanya melibatkan perkara yang telah disahkan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.