KABOTBA platform cungkil bakat, kreativiti generasi muda orang asli

Majlis perasmian KITA ASLI: Battle of the Bands (KABOTBA) Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Jubli Perak, Shah Alam

SHAH ALAM, 4 September – KITA ASLI: Battle of the Bands (KABOTBA) Peringkat Kebangsaan 2026 bukan sekadar medan pertandingan muzik, sebaliknya menjadi platform mencungkil bakat dan kreativiti generasi muda orang asli menerusi seni serta muzik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan negeri tekankan kemajuan tidak memerlukan pengorbanan bahasa, seni, budaya dan warisan Orang Asli.
  • KABOTBA memberi peluang anak muda membina keyakinan diri dan membawa identiti komuniti menerusi muzik.
  • Juara menerima RM10,000, sijil, trofi dan peluang rakaman profesional bersama syarikat rakaman tempatan.
  • Acara turut menampilkan pameran komuniti, jualan produk makanan dan reruai kempen kesedaran pelbagai agensi.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, golongan berkenaan mempunyai potensi besar untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi tanpa perlu mengorbankan identiti, budaya dan warisan komuniti.

Kemajuan dan identiti tidak boleh dipisahkan, malah generasi muda Orang Asli boleh mengejar cita-cita tanpa meninggalkan bahasa, seni, budaya serta warisan komuniti masing-masing.

“Bagi kerajaan negeri, kami percaya bahawa kemajuan dan identiti tidak boleh dipisahkan. Anak-anak muda boleh bergerak maju mengejar cita-cita tanpa perlu meninggalkan bahasa, seni, budaya dan warisan komuniti masing-masing.

“KABOTBA bukan sekadar pertandingan muzik atau tentang siapa yang bergelar juara. Yang lebih penting ialah peluang untuk generasi muda orang asli berkarya, membina keyakinan diri, dan membawa identiti mereka menerusi muzik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan KABOTBA Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Jubli Perak, di sini.

Hadir sama, Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, Papparaidu Veraman dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Muhammad Akmal Ila Ahmad.

Sebanyak tujuh kumpulan dari enam negeri berjaya mara ke peringkat akhir selepas melalui pertandingan saringan di Zon Tengah, Zon Pantai Timur dan Zon Selatan.

Jelas Datuk Borhan, usaha mencungkil bakat tidak seharusnya terhenti selepas pertandingan, sebaliknya perlu diteruskan dengan memberi peluang kepada peserta menghasilkan karya dan meneroka industri muzik secara profesional.

Juara KABOTBA 2026 akan menerima wang tunai RM10,000 berserta sijil dan trofi, selain berpeluang merakamkan lagu secara profesional bersama syarikat rakaman tempatan.

Selain pertandingan akhir, program turut menampilkan pameran berkaitan komuniti Orang Asli, jualan produk dan makanan serta reruai kempen kesedaran pelbagai agensi.

KABOTBA merupakan kesinambungan daripada Asli Battle of the Bands (ABOTB) yang mula dilaksanakan di Selangor pada 2023.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.