Mosimane kembali kendali skuad Afrika Selatan

Pitso Mosimane dilantik sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan Afrika Selatan buat kali ketiga / REUTERS

JOHANNESBURG, 3 September – Pitso Mosimane dilantik sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan Afrika Selatan buat kali ketiga selepas pengendali dari Belgium, Hugo Broos, meninggalkan jawatan itu, umum Persatuan Bola Sepak Afrika Selatan (SAFA) pada Selasa.

SAFA lebih tiga minggu lalu mengumumkan Mosimane sebagai calon pilihan untuk menggantikan Broos yang bersara, sebelum mengesahkan pelantikannya pada Selasa.

Mosimane, 62, pernah mengendalikan skuad kebangsaan sebagai jurulatih sementara bagi tujuh perlawanan sebelum ketibaan pengendali Brazil, Carlos Alberto Parreira, pada 2007.

Beliau kemudian mengambil alih pasukan itu selepas Piala Dunia 2010, namun dipecat selepas Afrika Selatan gagal melayakkan diri ke Piala Negara Afrika (AFCON) 2012.

Sejak itu, Mosimane mencipta kejayaan sebagai jurulatih kelab apabila memenangi tiga gelaran Liga Juara Afrika selain pelbagai kejuaraan domestik bersama Mamelodi Sundowns dari Afrika Selatan dan Al Ahly dari Mesir.

Mosimane, yang pernah beraksi sebagai pemain tengah skuad kebangsaan, perlu segera membentuk pasukan apabila Afrika Selatan memulakan kempen kelayakan Piala Negara Afrika 2027 dengan aksi di laman sendiri menentang Guinea pada akhir bulan ini.

Afrika Selatan kemudian akan berdepan Eritrea di Mesir yang dipilih sebagai venue berkecuali, selain turut berada dalam kumpulan kelayakan bersama Kenya selaku salah satu negara tuan rumah kejohanan. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.