
SEREMBAN, 29 Ogos – Satu sesi pertemuan dan taklimat akan diadakan esok bersama dengan keluarga rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan susulan banjir kilat dahsyat dan insiden tanah runtuh di Daerah Rasuwa, Nepal.
- Wisma Putra, Majlis Keselamatan Negara dan agensi berkaitan menerangkan usaha mencari serta mengesan mangsa.
- Wisma Putra sedia menguruskan perjalanan keluarga ke lokasi jika perlu, tetapi akses sukar akibat jambatan terputus.
- Bilik operasi Wisma Putra beroperasi 24 jam dan berhubung rapat dengan Kementerian Luar Nepal; Kedutaan tambah petugas.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata taklimat itu melibatkan Wisma Putra, Majlis Keselamatan Negara dan agensi berkaitan untuk memberikan penerangan lanjut mengenai usaha mengesan serta mencari mangsa yang dikategorikan sebagai hilang.
Beliau berkata Wisma Putra juga bersedia menguruskan perjalanan keluarga terlibat ke Nepal sekiranya perlu namun akses ke lokasi bencana adalah sukar berikutan masalah perhubungan termasuk jambatan yang terputus.
“Banyak juga yang dulu dikategorikan hilang tetapi telah dapat dihubungi… pihak negara China turut memaklumkan ada beberapa orang di sebelah sana dapat dihubungi namun belum dipastikan kerakyatan mana,” katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Kasih di Taman Kelab Tuanku, Mamba di sini hari ini.
Mohamad berkata bilik operasi kementerian beroperasi 24 jam bagi memantau perkembangan rakyat Malaysia yang terjejas, dan Wisma Putra berhubung rapat dengan Kementerian Luar Nepal serta agensi berkaitan untuk mendapatkan perkembangan lanjut.
Beliau berkata Kedutaan Malaysia di Kathmandu turut menerima tambahan petugas bagi membantu menguruskan keperluan berkaitan rakyat negara ini dan keluarga mereka yang masih belum dapat dikesan. -BERNAMA