MAHB lancar RFI kaji semula Model konsesi bebas cukai lapangan terbang

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) melancarkan Permintaan Maklumat (RFI) bagi menilai semula model konsesi barangan bebas cukai di semua lapangan terbang kendaliannya selaras dengan corak pembelian penumpang semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kajian strategik dilaksana susulan perubahan jangkaan penumpang dan corak perbelanjaan yang menjejaskan sektor peruncitan di lapangan terbang.
  • Pendekatan berasaskan bukti dengan penandaarasan antarabangsa digunakan, manakala RFI mengumpul pandangan pasaran dan keupayaan industri.
  • Tiada struktur konsesi ditetapkan; fokus kepada pengalaman runcit sebelum memilih model, pemegang konsesi sedia ada turut dilibatkan.

MAHB dalam satu kenyataan memaklumkan kajian strategik itu dilaksanakan susulan perubahan jangkaan penumpang dan corak perbelanjaan yang terus mempengaruhi sektor peruncitan di lapangan terbang.

Langkah berkenaan bagi menilai pendekatan berpotensi untuk menyediakan pengalaman runcit yang lebih tersendiri, relevan serta menawarkan kepelbagaian pilihan produk yang lebih luas.

Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata kajian tersebut meneruskan usaha syarikat untuk menilai semula aspek komersial di lapangan terbang secara berfasa.

“Susulan RFI yang baru-baru ini dikeluarkan bagi aset pengiklanan lapangan terbang, kajian ini memperluaskan tumpuan kami kepada satu lagi komponen penting dalam persekitaran komersial.

“Walaupun setiap bidang mempunyai keperluan yang berbeza, kedua-dua usaha ini mencerminkan komitmen kami untuk memastikan tawaran komersial memberi sumbangan bermakna kepada pengalaman di lapangan terbang,” katanya.

Beliau menjelaskan pendekatan berasaskan bukti digunakan menerusi penanda aras terhadap pelbagai model di peringkat antarabangsa, manakala RFI membolehkan MAHB menguji hasil penemuan berdasarkan pandangan pasaran dan keupayaan industri.

Menurut MAHB, pihaknya tidak menetapkan terlebih dahulu struktur konsesi yang bakal digunakan, sebaliknya fokus diberi untuk menentukan pengalaman runcit yang ingin diwujudkan terlebih dahulu sebelum mengenal pasti model paling sesuai.

Syarikat pengendali lapangan terbang itu turut menegaskan bahawa proses RFI adalah untuk mendapatkan maklum balas pasaran dan bukannya satu proses perolehan.

Sehubungan itu, tiada sebarang keputusan dibuat setakat ini berhubung model konsesi masa hadapan, manakala pemegang konsesi bebas cukai sedia ada turut dilibatkan menerusi sesi libat urus individu dan dialog.

Penemuan RFI akan dinilai sebelum cadangan dibentangkan kepada Lembaga Pengarah dengan pengalaman penumpang kekal sebagai pertimbangan utama.

Pihak yang berminat dijemput mengemukakan maklum balas secara elektronik dalam format PDF serta Excel bagi maklumat kewangan kepada Unit Strategi dan Pembangunan MAHB.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.