Bekas ketua jurulatih hoki negara Sarjit Singh meninggal dunia

Foto FB Malaysian Hockey Confederation

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Bekas ketua pasukan dan jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan Sarjit Singh meninggal dunia pada usia 63 tahun di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) di sini, malam ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Konfederasi Hoki Malaysia mengesahkan pemergian Sarjit Singh melalui hantaran Facebook dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga.
  • Beliau menyarung jersi kebangsaan dari 1982 hingga 1993.
  • Mewakili Malaysia pada Sukan Olimpik Los Angeles 1984 dan Barcelona 1992.
  • Membantu negara raih pingat gangsa Sukan Asia 1982 New Delhi dan 1990 Beijing; pernah melatih skuad kebangsaan 2007-2008 serta 2024-2026.

Mendiang, yang berdepan masalah kesihatan, menghembuskan nafas terakhir kira-kira 10 malam.

Berita pemergian legenda hoki negara itu disahkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerusi hantaran di laman Facebook rasminya.

KHM turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan insan tersayang mendiang yang pernah menyarung jersi kebangsaan dari 1982 hingga 1993.

“Dedikasi, khidmat dan sumbangan beliau kepada hoki Malaysia, sama ada sebagai pemain mahupun ketua jurulatih, akan sentiasa dikenang.

Salam takziah yang tulus kepada keluarga dan insan tersayang. Semoga mereka diberikan kekuatan, ketabahan dan ketenangan dalam menghadapi saat sukar ini. Semoga rohnya bersemadi dengan tenang,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang karier sebagai pemain, Sarjit mewakili Malaysia pada dua edisi Sukan Olimpik, masing-masing di Los Angeles pada 1984 dan Barcelona pada 1992.

Beliau juga membantu negara meraih pingat gangsa pada dua edisi Sukan Asia, iaitu di New Delhi pada 1982 dan Beijing pada 1990.

Selepas bersara sebagai pemain, Sarjit terus menabur bakti dalam arena hoki sebagai jurulatih dan pernah membimbing skuad kebangsaan dari 2007 hingga 2008.

Beliau kembali diberi kepercayaan mengendalikan pasukan negara bagi tempoh Mac 2024 hingga Mac 2026.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.