
RAMALLAH/ISTANBUL, 23 Ogos – Tentera Israel pada Ahad menahan seramai 13 rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak dalam serbuan di Tebing Barat yang diduduki, ketika peneroka haram Israel melancarkan serangan termasuk membakar harta benda dan memusnahkan tanah pertanian, lapor Anadolu Ajansi (AA).
- Peneroka haram Israel melancarkan serangan, membakar harta, merosakkan paip pengairan dan mencabut pokok zaitun serta anggur di pelbagai kawasan.
- Tentera Israel menjalankan serbuan, menahan penduduk, menutup laluan kampung dan menggunakan gas pemedih mata semasa operasi.
- Tebing Barat menyaksikan peningkatan serangan dan serbuan sejak Oktober 2023, menimbulkan kebimbangan di kalangan Palestin dan komuniti antarabangsa.
Sumber tempatan memberitahu Anadolu bahawa peneroka haram Israel membakar sebuah bilik kediaman milik seorang rakyat Palestin di bahagian utara bandar Osarin, selatan Nablus di utara Tebing Barat.
Mereka turut membakar sebuah kenderaan sehingga sebahagiannya hangus dan menulis slogan berbaur perkauman menggunakan cat sembur di lokasi kejadian, menurut sumber itu.
Di Bethlehem, peneroka haram Israel menyerang kawasan Khala’il al-Louz di timur bandar itu, merosakkan paip pengairan yang digunakan untuk tanaman, menebang pokok serta merosakkan harta benda dan tanah pertanian milik rakyat Palestin.
Peneroka haram Israel turut mencabut pokok zaitun dan anggur di tanah milik rakyat Palestin di kampung al-Minya, timur Bethlehem, menurut agensi berita rasmi Palestin, WAFA.
Sementara itu, tentera Israel menahan dua rakyat Palestin termasuk seorang kanak-kanak dari kampung al-Rashaydeh di Bethlehem.
Di Qalqilya, tentera Israel menahan enam rakyat Palestin selepas menyerbu bandar itu dan menggeledah kediaman di kawasan kejiranan Kafr Saba dan al-Naqqar, menurut WAFA.
Tentera Israel turut menahan lima rakyat Palestin dari bandar Tulkarem dalam satu serbuan.
Di Ramallah, tentera Israel menutup pintu masuk barat ke kampung al-Mughayyir, timur laut bandar itu, sekali gus menghalang rakyat Palestin daripada keluar atau masuk.
Mereka turut menjalankan soal siasat di lokasi terhadap beberapa rakyat Palestin dan melepaskan gas pemedih mata ke arah kenderaan.
Sumber tempatan memberitahu Anadolu bahawa pintu masuk barat itu kini satu-satunya laluan ke kampung berkenaan selepas tentera Israel menutup pintu masuk timurnya pada 7 Okt 2023.
Menurut sumber sama, peneroka haram Israel turut membakar sebuah khemah, peralatan dan makanan haiwan milik seorang petani Palestin di pinggir kampung Burqa, timur Ramallah.
Tebing Barat menyaksikan peningkatan serangan peneroka haram Israel dan serbuan tentera Israel sejak tercetusnya perang Israel di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023, di tengah-tengah amaran pihak Palestin dan masyarakat antarabangsa mengenai akibat peningkatan ketegangan yang berterusan.- BERNAMA-ANADOLU