
KAYANG, 22 Ogos – Lebih 2,000 peserta dan penduduk sekitar Kampung Bangsal Lebah serta sukarelawan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) memeriahkan Sukan Bendang yang julung kali diadakan bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan.
- Inisiatif sukan sesuai dengan aktiviti masyarakat kampung yang mengusahakan sawah padi sebagai sumber ekonomi setempat.
- Menjadi tarikan sempena Tahun Melawat Perlis dan Tahun Melawat Malaysia, menyerlahkan keunikan masyarakat kampung dan tradisi Melayu.
- Program melambangkan kesejahteraan negara serta memperkukuh hubungan dan mengeratkan silaturahim antara penduduk kampung dan peserta.
- Lebih 20 aktiviti melibatkan semua peringkat usia dan kaum, termasuk permainan tradisional, pemeriksaan kesihatan, dan konvoi Jalur Gemilang.
Pengerusi Jawatankuasa Program merangkap Pengerusi JPKKP Kampung Bangsal Lebah, Norhayati Hashim berkata, inisiatif mengetengahkan sukan itu sesuai dengan aktiviti kehidupan masyarakat di kampung berkenaan yang masih mengusahakan kawasan sawah padi sebagai satu sumber ekonomi setempat.
Sukan Bendang itu juga menjadi tarikan utama bersempena dengan Tahun Melawat Perlis 2024-2026 serta Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menyerlahkan keunikan masyarakat kampung yang terus mengangkat tradisi Melayu kepada generasi hari ini.
“Program pada hari ini diadakan sempena Semarak Merdeka sebagai sambutan Hari Kebangsaan bersama masyarakat kampung. Program ini melambangkan kesejahteraan yang kita nikmati di Malaysia.
“Selain itu melalui aktiviti sukan juga dapat memperkukuh hubungan dan mengeratkan silaturahim antara penduduk kampung serta semua yang terlibat. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Semarak Merdeka: Program Terpa Mai Join Kami, Sukan Dalam Bendang di Kampung Bangsal Lebah di sini bertemakan ‘‘Semangat Merdeka, Sihat, Bersukan, Bersama Komuniti’.
Lebih 20 aktiviti telah disusun atur melibatkan pelbagai peringkat usia dan kaum dalam semangat perpaduan sebagai bangsa yang Merdeka.
Antara aktiviti yang diadakan termasuk pukul bantal atas titi, bola dalam bendang, sukan kanak-kanak, tangkap itik, lari dalam guni, tunjuk aksi bina semangat, aktiviti bersama keluarga, pemeriksaan kesihatan, acara khas komuniti dan permainan tradisional serta konvoi kibaran Jalur Gemilang dan kenduri kampung.
Program turut mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Parlimen Kangar, Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG) Universiti Utara Malaysia (UUM), UMNO Bahagian Kangar dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bangsal Lebah.