
KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Jabatan Alam Sekitar (JAS) meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka susulan kejadian jerebu yang sedang melanda negara.
- JAS memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dari semasa ke semasa.
- Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan diaktifkan untuk menyelaras tindakan agensi kerajaan.
- Serian catat IPU pada tahap sangat tidak sihat; sembilan kawasan lain rekod tahap tidak sihat.
- ASMC kesan 288 titik panas di Kalimantan, 53 di Sumatera, dua di Malaysia; asap rentas sempadan masuk barat Sarawak.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS, Azuri Azizah Saedon berkata pihaknya turut memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dari semasa ke semasa
“Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan turut diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan jerebu,” katanya menerusi kenyataan.
Setakat pukul 2.00 petang tadi, Serian merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat.
Sembilan kawasan lain turut merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, melibatkan Sri Aman dengan bacaan 187, Kuching (176), Samarahan (175), Sarikei (174), Sibu (157), Bintulu (154), Samalaju (154), serta Kapit dan Mukah masing-masing 130.
Berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) pada 20 Ogos, sebanyak 288 titik panas dikesan di Kalimantan, 53 di Sumatera dan dua di Malaysia, masing-masing satu di Sarawak dan Terengganu.
ASMC turut melaporkan kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga padat dari Kalimantan Barat bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak.